MBPJ keluar 249 permit sementara bantu peniaga tanpa lesen

Datuk Bandar MBPJ Mohamad Azhan Md Amir (tengah) menyerahkan permit sementara bermasa kepada salah seorang penerima.
Datuk Bandar MBPJ Mohamad Azhan Md Amir (tengah) menyerahkan permit sementara bermasa kepada salah seorang penerima.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan sebanyak 249 permit sementara bermasa kepada peniaga tanpa lesen (PTL) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Jun hingga Oktober lalu.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 185 permit dikeluarkan melibatkan 10 zon kawasan Ahli Majlis pada fasa satu Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, jumlah permit dikeluarkan di kawasan terlibat ialah di zon 17 membabitkan kawasan PJS 1 dan PJS 3, Jalan Besar PJCC, Petaling Jaya (zon 18), SS 5 dan SS 6 Kelana Jaya (zon 21), PJU 4 dan PJU 5 (zon 3) dan PJS 6 (zon 24).

"Selain itu, permit turut dikeluarkan di Seksyen 2, Seksyen 3, Seksyen 4, dan Seksyen 51 (zon 15), SS2 (zon 8), Seksyen 1, Seksyen 1A dan Seksyen 18 (zon 16) dan di Seksyen 17A, Seksyen 19 dan SS20 (zon 9) serta SS 21, SS 22 dan SS 22A (zon 5)," katanya dalam satu kenyataannya pada Selasa.

Kenyataan itu memberitahu, sebanyak 64 permit Fasa 2 telah dilaksanakan membabitkan empat zon kawasan Ahli Majlis pada Ogos dan September lalu.

"Lokasi permit dikeluarkan ialah di Jalan PJS 2/1, Taman Dato Harun (zon 18), Jalan PJS 6/6b, Petaling Jaya (zon 24), Jalan SS 3/19, Sungai Way (zon 20), Jalan Pekaka 8/1, Seksyen 8 Kota Damansara (zon 3)," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pandemik Covid-19 memberikan kesan buruk terhadap kestabilan ekonomi dan secara tidak langsung meningkatkan kadar pengangguran dan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar terutama golongan B40.

"Atas faktor ini juga, lambakan PTL semakin meningkat di Petaling Jaya akibat desakan hidup untuk mencari sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

"MBPJ secara langsung prihatin dan bertanggungjawab untuk membantu PTL dengan memberikan permit sementara bermasa bagi menjalankan aktiviti perniagaan untuk jana pendapatan ketika pasca Covid-19," katanya.

Kenyataan itu memberitahu, seramai 49 PTL telah dilesenkan di sekitar lokasi terbabit yang turut menyediakan 51 petak bersaiz (8x8 kaki persegi) bagi menyusun dan menempatkan PTL mengikut konsep perkongsian petak mengikut sesi.

Jelas kenyataan itu, konsep perkongsian petak ini dibahagikan kepada tiga sesi iaitu dari jam 6 pagi hingga 10 pagi bagi sesi satu dan sesi dua bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

"Bagi sesi ketiga pula bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam dengan tempoh permit selama sebulan dan kadar bayaran permit sementara bermasa sebanyak RM40 sebulan bagi setiap petak.

"Usahawan mikro (penjaja) boleh memperbaharui permit maksimum sehingga tiga bulan dan kelulusan permit tertakluk kepada syarat telah ditetapkan oleh MBPJ dan akujanji yang ditandatangani oleh PTL.

Kenyataan sama turut memaklumkan jumlah keseluruhan permit sementara bermasa dikeluarkan oleh MBPJ sehingga kini sebanyak 802 permit.

"Sebanyak 504 permit dikeluarkan ketika sebelum wabak pandemik dan 298 permit lagi ketika pasca pandemik Covid-19," ujar kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, MBPJ akan membuat kajian berhubung permit sementara bermasa pada tahun 2022.

"Selain itu, MBPJ akan menambah lebih banyak lokasi permit sementara bermasa untuk usahawan mikro di Petaling Jaya mengikut keperluan," katanya.