Le Tour de Langkawi kembali tahun depan: Ahmad Faizal

LTdL dianjurkan setiap tahun sejak 1996, berjaya dianjurkan untuk edisi Jubli Perak pada Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor sukan dunia bermula Mac tahun itu. Foto fail Bernama
LTdL dianjurkan setiap tahun sejak 1996, berjaya dianjurkan untuk edisi Jubli Perak pada Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor sukan dunia bermula Mac tahun itu. Foto fail Bernama
A
A
A

SEPANG - Setelah edisi 2021 dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali menemui peminat dan menggegar jalan raya negara tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, beliau yakin pihak penganjur telah bersedia untuk menganjurkan jelajah elit Asia itu tanpa sebarang masalah walaupun tarikh belum diputuskan.

Beliau turut mengesahkan bahawa syarikat Human Voyage (M) Sdn Bhd, yang sebelum ini ditawarkan kontrak penganjuran selama tiga tahun bermula 2019, akan meneruskan penganjuran pada 2022 kerana edisi 2021 terpaksa dibatalkan.

"Saya berharap pada tahun hadapan tiada masalah besar dan penganjur juga telah bersiap sedia untuk menganjurkan LTdL 2022 dengan penuh meriah di seluruh negara. KBS bersedia salurkan peruntukan (untuk penganjuran).

"Kita ada kontrak dengan pihak penganjur, tahun lepas tidak diadakan, jadi kena penuhi kontrak itu," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menghantar peserta ke Kejohanan Dunia M3 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Singapura.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab pada minggu lepas berkata, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah memberikan pilihan tarikh penganjuran pada Januari dan Mac depan, dengan 16 pasukan dikatakan telah menyatakan minat untuk menyertai jelajah itu.

Menurut laman sesawang UCI, LTdL disenaraikan untuk penganjuran bermula 16-23 Jan depan.

LTdL dianjurkan setiap tahun sejak 1996, berjaya dianjurkan untuk edisi Jubli Perak pada Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor sukan dunia bermula Mac tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menubuhkan sebuah organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi, Ahmad Faizal berkata, pihaknya belum membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Saya mengalu-alukan lagi pelbagai cadangan daripada MOM, orang ramai dan persatuan sukan yang kita akan perhalusi, pertimbangkan dan buat keputusan sewajarnya," katanya.

Awal bulan ini, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencadangkan agar sebuah organisasi baharu perlu untuk perancangan jangka sederhana dan panjang sukan berprestasi tinggi tanpa mengalami gangguan disebabkan perubahan struktur kerajaan atau politik, terutamanya dalam persediaan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap kedua-dua pasukan profesional negara iaitu Todak dan Team SMG yang bertanding pada edisi ketiga kejohanan dunia MLBB bermula 6-19 Dis ini, mampu mara ke final, dengan satu daripadanya muncul juara untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$300,000 (lebih kurang RM1.2 juta) bagi juara.

"Sebanyak 16 pasukan dari seluruh negara akan bertarung dan kita mendapati pasukan dari Filipina dan Indonesia akan beri saingan sengit kepada kita. Yang penting mereka bertarung demi nama negara dan mempopularkan lagi e-sukan, saya harap lebih ramai rakyat kita dapat ditampilkan mewakili negara di kejohanan dunia," tambahnya. - Bernama