Peralihan fasa punca harga barang naik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kenaikan harga barang terutama ayam pada masa kini disebabkan pelbagai faktor termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi susulan peralihan fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak bulan lalu.

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full berkata, faktor berkenaan turut dikaitkan dengan peningkatan permintaan barangan tetapi bekalan barangan pula berkurangan.

"Sejak sektor ekonomi mula dibuka bulan lalu, harga barangan keperluan terutama ayam dikesan naik berikutan kesan sementara permintaan bekalan yang masih belum stabil atau pulih.

"Sebagai contoh, peningkatan kos dedak dan permintaan tinggi dikenal pasti sebagai faktor kenaikan harga ayam.

"Penternak ayam tidak boleh menjangkakan pembukaan fasa-fasa ini menyebabkan mereka memerlukan masa untuk menyediakan bekalan ayam yang mencukupi untuk pasaran seterusnya harga akan stabil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Faizul Amri Adnan (PKR-Serom) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, pada Selasa.

Faizul mengajukan soalan mengenai kenaikan mendadak barangan keperluan termasuk makanan kebelakangan ini yang menjejaskan golongan memerlukan di negeri ini.

Sementara itu, Fat Full yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis berkata, bagi memastikan harga barang terkawal, tindakan telah diambil dengan menguatkuasakan harga siling dan menggerakkan anggota penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya kerap turun padang memeriksa harga barangan dan mendapati harga barangan keperluan terutama makanan dijual di pasar raya dijual pada harga lebih rendah berbanding harga siling.

"Pengguna dinasihatkan memuat turun aplikasi perbandingan harga bagi mengenal pasti lokasi barangan keperluan yang dijual pada harga lebih rendah supaya pilihan terbaik dapat dilakukan," katanya.