Malaysia mampu capai 100 peratus keterangkuman digital

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Huawei Customer Solution Innovation Center (CSIC) di Huawei Malaysia Integra Tower hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Huawei Customer Solution Innovation Center (CSIC) di Huawei Malaysia Integra Tower hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mempunyai kapasiti dan keupayaan untuk mencapai 100 peratus keterangkuman digital, terutamanya dalam kalangan komuniti yang mudah terjejas, dalam usaha untuk merapatkan jurang digital, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penggunaan teknologi yang cekap dan berkesan dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan memanfaatkan projek perkongsian awam-swasta, sekali gus akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, menambah baik penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam, selain menggalakkan inovasi dan ekonomi bidangan.

“Mengukuhkan kerjasama ini dan menjalin kerjasama baharu dengan sektor swasta akan memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi serantau utama untuk pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi digital yang pesat,” katanya semasa melancarkan Pusat Inovasi Penyelesaian Pelanggan (CSIC) Huawei di sini pada Selasa.

Ismail Sabri berkata, melalui strategi pembangunan untuk lima tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, tumpuan kepada mengukuhkan pembolehubah pertumbuhan akan terus diberi keutamaan, terutamanya dalam sektor teknologi dan inovasi.

Katanya, ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan pendigitalan untuk mengatasi cabaran menjalankan perniagaan dalam tempoh sukar ini tanpa mengganggu kecekapan dan produktiviti.

“Entiti perniagaan perlu bertindak cepat dan fleksibel untuk bertahan dalam tempoh mencabar ini dan ini tidak mungkin berlaku tanpa penggunaan teknologi digital, terutamanya apabila urusan secara bersemuka bukan satu pilihan.

“Sehubungan itu, saya gembira dengan pencapaian yang dicapai oleh Huawei Malaysia seperti yang dapat dilihat di CSIC, yang membantu dalam transformasi digital negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ismail Sabri, tenaga kerja merupakan aspek penting dalam mempercepatkan transformasi digital untuk negara dan beliau dimaklumkan bahawa kebanyakan pekerja Huawei Malaysia adalah rakyat tempatan.

“Saya berbangga untuk menyatakan, dalam menerima konsep Keluarga Malaysia, Huawei telah mengambil peranan penting dalam membantu kerajaan untuk memberi tumpuan kepada perkara ini (untuk mencapai 100 peratus keterangkuman digital).

“Saya berharap lebih banyak syarikat akan tampil untuk mengikut jejak anda,” katanya.

Perdana Menteri turut meluangkan masa selama 20 minit melawat CSIC baharu diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan. - Bernama