Penganggur didakwa bunuh ibu saudara

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang wanita yang merupakan ibu saudaranya dalam kejadian dua minggu lalu.

Awkim Wah, 40, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Aw Foong Meng, 73, di sebuah rumah di Kampung Cina, Menglembu antara jam 11 pagi dan 3.25 petang pada 9 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher.

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kelar dan tikaman pada leher dengan senjata berupa pisau masih tertusuk di belakang leher wanita itu.

Polis kemudian menahan reman seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan anak saudara mangsa dan tinggal bersamanya untuk siasatan lanjut.