Sayur pula naik harga

Harga beberapa jenis sayur-sayuran didapati naik mendadak. - Gambar hiasan
Harga beberapa jenis sayur-sayuran didapati naik mendadak. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) digesa supaya mengambil tindakan segera dalam menangani masalah kenaikan harga sayur.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasaran didapati naik sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Katanya, terdapat harga lapan jenis sayuran didapati naik antaranya kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

"Harga kubis bunga sebelum ini hanya RM7 sekilogram (kg) namun kini naik sehingga RM16 sekg. Paling teruk, sawi pendek yang didapati naik sehingga 200 peratus iaitu daripada RM3 sekg ke RM9 sekg. Brokoli juga naik mendadak iaitu sebanyak 150 peratus iaitu daripada RM8 sekg ke RM20 sekg.

"Sementara itu, harga sawi naik daripada RM5 sekg ke RM8 sekg (60 peratus); kacang buncis daripada RM8 sekg ke RM15 sekg (88 peratus); kubis daripada RM4 sekg ke RM6 sekg (50 peratus), cili merah daripada RM13 sekg ke RM19 sekg (46 peratus) dan cili hijau daripada RM10 sekg ke RM14 sekg (40 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, lebih merunsingkan, peruncit mendakwa mereka diberitahu oleh pengedar serta pemborong bahawa kemungkinan harga sayur-sayuran lain juga akan naik.

"Mereka mendakwa bahawa sayur-sayuran lain juga akan naik pada beberapa minggu akan datang. Perkara ini amat membimbangkan. Sehubungan itu, CAP menggesa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menyiasat kenaikan harga ini.

"Perkara ini akan memberi impak kepada golongan berpendapatan rendah. Golongan ini akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang seperti sayur-sayuran ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa agar tindakan keras terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.

"CAP juga telah berulang kali meminta agar FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi gesaan kami tidak diendahkan," katanya.