‘Patut dah tip top’

Serbegeth Singh
Serbegeth Singh
A
A
A

MASALAH kekangan masa untuk mengumpul pemain mengikuti kem latihan pusat menjelang saingan Piala Suzuki AFF 2020 bulan depan tidak harus dijadikan alasan Harimau Malaya beraksi hambar di Singapura.

Perkara itu ditegaskan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Serbegeth Singh yang beranggapan kem latihan pusat hanya medan buat barisan kejurulatihan memperkemaskan taktikal sebelum kejohanan bermula.

“Kebiasaannya, pihak kejurulatihan negara akan sentiasa memantau dan berhubung rapat dengan setiap pemain melalui sesi dialog serta berkongsi video dalam menilai kekuatan serta kelemahan mereka.

“Jadi kem latihan bukanlah tempat untuk mengenal pasti atau memperkenalkan diri (pemain) semata-mata. Ia lebih kepada pemain-pemain diberikan panduan taktikal semasa.

“Jadi alasan kekangan masa untuk membuat persiapan sudah tidak relevan kerana selepas satu musim penuh berlalu, kesemua pemain sepatutnya melaporkan diri dalam kesediaan fizikal yang tip top (baik),” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mengikut perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya pemain yang mana pasukannya sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia - sama ada di peringkat kumpulan dan suku akhir melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.

Bagi pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia akan melaporkan diri pada 28 November. Ia disusuli pemain yang pasukannya layak ke final Piala Malaysia akan melaporkan diri pada 1 Disember ini.

Bagi empat pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melaporkan diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berpandangan pertahanan Harimau Malaya dilihat agak tempang selepas ketiadaan dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) - Matthew Davies dan Corbin Ong.

“Kecuali dengan adanya Dion Cools, ketiadaan Matt Davies dan Corbin Ong agak menggusarkan kerana mereka berdua selalunya konsisten dan bergerak membantu barisan serangan pasukan negara.

“Untuk bahagian tengah, selain Baddrol Bakhtiar, kita tidak mempunyai perancang yang boleh kawal rentak serta tempo permainan,” ujanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Begitu pun, beliau berkata, bahagian serangan termasuk di posisi sayap Harimau Malaya tampak lebih baik bagi menggempur gawang pasukan lawan.

“Di bahagian sayap, Malaysia mempunyai ramai pemain yang pantas dan selesa dengan kemahiran menggelecek. Shahrel Fikri dan Darren Lok pula merupakan dua penyerang mobile yang boleh membuka ruang untuk bahagian tengah membuat hantaran.

“Kedua-dua penyerang berkenaan juga boleh membantu Luqman Hakim (Shamsudin) lebih menyerlah. Malah, Darren kini dilihat semakin efektif di depan pintu gol sejak menyertai PJ City FC musim ini,” jelasnya.