Nok boh, doh kito!

Penduduk perlu siap sedia untuk berpindah jika banjir semakin buruk. - Foto hiasan/Bernama
Penduduk perlu siap sedia untuk berpindah jika banjir semakin buruk. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

MASUK sahaja bulan November, raut wajah penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sepanjang lembangan Sungai Kelantan termasuklah Sungai Golok bimbang memikirkan kedatangan banjir.

Kejadian bah juga disebut 'boh' dalam bahasa Kelantan. Tidak terkecuali penulis dan pasukan Sinar Harian Kelantan yang perlu membuat persiapan dari segi mental dan fizikal sebelum turun ke lapangan untuk membuat liputan.

Mana tidaknya, November merupakan musim monsun yang membawa hujan lebat sehingga boleh menyebabkan berlakunya boh bukan sahaja di Kelantan malah ke Terengganu dan Pahang.

Walaupun penduduk di kawasan rendah sudah 'masak' berdepan fenomena itu saban tahun, namun mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan siap sedia sebaik sahaja melangkah masuk November dengan mengambil kira ilmu 'pedoman' hidup berkait dengan boh.

Selain itu, kecanggihan teknologi hari ini perlu dimanfaatkan. Tekan sahaja telefon pintar semua maklumat berkait dengan banjir akan 'terkumpul' di hujung jari menerusi platform mudah alih disediakan oleh kerajaan iaitu aplikasi Info Bencana JKM dan lawan sesawang ebanjir.kelantan.gov.my.

Ia sarat dengan informasi terkini cuaca; taburan hujan, paras air sungai serta lain-lain bagi memastikan kita tidak terlepas perkara penting berkait banjir.

Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 menyerang negara pada Mac 2020 seluruh kehidupan rakyat Malaysia berubah secara total apabila perlu mengikut normal baharu seperti memakai pelitup muka; penjarakan sosial, mencuci tangan, menyukat suhu dan mengimbas kod aplikasi Mysejahtera.

Tidak ketinggalan pengambilan suntikan lengkap vaksin sebagai ‘ikhtiar’ dalam memutuskan rantaian jangkitan yang digelar sebagai prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Garis panduan yang diguna pakai itu selari dengan ketetapan dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Covid-19 dan banjir

Semua itu seakan-akan sudah menjadi kebiasaan yang perlu dipatuhi sebaik mungkin, tidak terkecuali dalam aspek pengurusan bencana banjir.

Jika dahulu pusat pemindahan sementara (PPS) boleh memuatkan mangsa mengikut keluasan dan kapasiti satu-satu kawasan, namun norma baharu lebih memberikan tumpuan kepada SOP, tidak seperti kebiasaan.

Mangsa banjir perlu menjalani ujian saringan awal seperti menyukat suhu bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala Covid-19 yang boleh menyumbang kepada penularan jangkitan.

Justeru, semua mangsa banjir perlu jujur dan berterus-terang dengan para petugas jika mereka mempunyai gejala.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika ditemui penulis semasa merasmikan Wisma Ilmu dan Pelancaran Program Anak Yatim di Masjid Al-Ismaili Mukim Morak, Tumpat pada 9 November lalu menasihatkan mereka yang mempunyai simptom jangkitan Covid-19 memaklumkan terus perkara itu kepada anggota penyelamat.

Pemakluman itu penting bagi membolehkan pasukan penyelamat mengambil langkah awal untuk menghulurkan bantuan selain memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Perlu diingat, pasukan penyelamat yang bertugas untuk memindahkan mangsa banjir diwajibkan memakai set pakaian perlindungan diri (PPE) sebelum gerak kerja dimulakan.

Tidak cukup dengan itu pasukan penyelamat perlu berdepan dengan risiko air deras semasa melaksanakan tugas. Oleh itu, jika paras air dilihat semakin 'ligat' menaik, teruslah menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah dengan kadar segera.

Janganlah selesa dengan sikap 'air sapa muko pintu rumoh baru nok mindoh' (air hampir masuk ke dalam rumah), itu tidak baik kerana akan merumitkan tugas pasukan penyelamat.

Oleh itu, konsep 'kita jaga kita' perlu diserap dengan sebaik mungkin bagi memastikan saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan itu dapat dijayakan dengan mengikut segala SOP yang telah ditetapkan.

Tidak cukup dengan itu, saranan kerajaan supaya rakyat mendapatkan suntikan dos penggalak perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuklah golongan belia berusia 21 tahun dan ke atas.

Jadi ruang yang terbuka luas untuk pengambilan dos penggalak ini perlu direbut sebaik mungkin termasuk bakal mangsa-mangsa banjir sebagai 'benteng' dan 'ikhtiar' melawan wabak berkenaan yang dilihat telah terbukti berjaya mengurangkan penggunaan katil di wad rawatan rapi (ICU) di hospital.

* Hazelen Liana Kamarudin ialah wartawan Sinar Harian Kelantan