Desas-desus PRU15 bertiup tak sampai seminggu selepas PRN Melaka

Mohamad Hasan menyatakan bahawa PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat yang ketika ini dilihat memihak kepada gabungan tersebut dalam PRN Melaka. - Foto Bernama
Mohamad Hasan menyatakan bahawa PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat yang ketika ini dilihat memihak kepada gabungan tersebut dalam PRN Melaka. - Foto Bernama
A
A
A

BELUM seminggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tamat, desas-desus mengenai kemungkinan berlakunya pilihan raya baharu sudah mula kedengaran.

Pilihan raya yang dibangkitkan ini bukanlah PRN Johor yang isunya timbul pada tempoh awal kempen PRN Melaka, tetapi sebaliknya ialah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan melibatkan keseluruhan negeri di Malaysia.

Isu mengenai kemungkinan tersebut mula dijadikan perhatian selepas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ahad menyatakan bahawa PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat dengan mengambil kira sentimen rakyat yang ketika ini dilihat memihak kepada gabungan tersebut dalam PRN Melaka.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa pandangan tersebut telah disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejurus selepas BN diumumkan memenangi PRN Melaka pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin turut dilaporkan berkata, PRU15 wajar diadakan ekoran daripada momentum baik yang dimiliki oleh BN selepas berjaya memperoleh kemenangan mutlak dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ahli Parlimen Pontian itu bagaimanapun memaklumkan perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat lebih lanjut bersama dengan pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin memaklumkan bahawa partinya tidak akan mengambil langkah tergopoh-gapah dengan meminta supaya PRU15 diadakan segera.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, persoalan tersebut sepatutnya ditentukan oleh jemaah kabinet dan bukannya parti politik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun setakat Selasa, tiada sebarang komen yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) mengenai perkara tersebut.

Untuk rekod, kerajaan persekutuan yang terdiri daripada BN, PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama gabungan terbesar pembangkang, PH.

Antara kandungan utama dalam MoU yang dimeterai di Parlimen pada September lalu adalah kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Namun, isu mengenai ketahanan MoU tersebut untuk mengekalkan kestabilan politik negara dilihat masih tidak menentu apabila ada pihak beberapa kali mengeluarkan kenyataan untuk mengkaji semula perjanjian tersebut ekoran daripada beberapa tindakan dilakukan kerajaan.

Tentunya, persoalan untuk mengadakan PRU15 tidak seharusnya hanya bergantung kepada faktor kebolehan sesebuah parti untuk memenangi pilihan raya tersebut kerana perlu diingatkan bahawa negara masih lagi belum sepenuhnya pulih daripada penularan Covid-19.

Ini kerana pada Isnin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi amaran bahawa kadar kemasukan kes Covid-19 ke hospital semakin meningkat.

Justeru, adalah penting supaya kerajaan dan juga parti politik untuk memikirkan semasak-masaknya langkah yang bakal diambil mereka dan tidak hanya bersandarkan kepada perkiraan politik tetapi juga mengambil kira nyawa dan kelangsungan hidup rakyat.