Ethiopian Airlines berkerjasama dengan Boeing siasat punca nahas

Pekerja penyelamat mengangkat mayat di lokasi pesawat Ethiopia Airlines terhempas pagi semalam, berhampiran bandar Bishoftu. - FOTO AFP
Pekerja penyelamat mengangkat mayat di lokasi pesawat Ethiopia Airlines terhempas pagi semalam, berhampiran bandar Bishoftu. - FOTO AFP
A
A
A

ADDIS ABABA - ETHIOPIA. Parlimen Ethiopia hari ini mengisytiharkan Hari Berkabung Kebangsaan susulan nahas pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines yang mengorbankan nyawa kesemua 157 penumpangnya.

Menurut Ethiopian Airlines, ia akan bekerjasama dengan Boeing, pihak berkuasa penerbangan awam kebangsaan dan pakar antarabangsa bagi merungkai punca yang menyebabkan pesawat baharu terbabit terhempas sejurus berlepas.

"Sebuah jawatankuasa terdiri daripada Ethiopian Airlines, pihak berkuasa Penerbangan Awam Ethiopia dan pihak berkuasa Pengangkutan Ethiopia ditubuhkan bagi menjalankan siasatan.

"Setelah identiti mayat dikenal pasti, ia akan dihantar pulang ke pangkuan keluarga dan orang tersayang," menurut kenyataan Ethiopian Airlines.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan menghantar penyiasat untuk membantu, manakala Kanada menghantar pegawai konsulat ke Addis Ababa bagi mengikuti perkembangan selanjutnya.

Petugas membuka kaunter khas untuk maklumat nahas pesawat Ethiopian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, semalam. - Foto AFP
Petugas membuka kaunter khas untuk maklumat nahas pesawat Ethiopian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, semalam. - Foto AFP

Dalam kejadian awal pagi semalam, penerbangan ET 302 dari Addis Ababa menuju ke Nairobi, terjunam ke sebuah kawasan lapang berhampiran Kampung Tulu Fara, di bandar Bishoftu, kira-kira 60 kilometer, tenggara Addis Ababa, hanya selepas enam minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, pada kira-kira jam 8:38 pagi waktu tempatan.

Beberapa saksi kejadian berkata, pesawat terbabit terbakar ketika ia terhempas.

Artikel Berkaitan:

"Pesawat berkenaan telah terbakar apabila ketika ia jatuh menjunam lalu meletup," kata Tegegn Dechasa sambil menambah lokasi nahas dipenuhi mayat, barangan penumpang serta beberapa bahagian pesawat yang berkecai.

Kesemua lapan anak kapal dan 149 penumpang dari 35 negara disahkan meninggal dunia. Antara mangsa yang terkorban terdiri daripada pelancong, ahli perniagaan dan juga petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk mereka yang terlibat dengan agensi berkaitan PBB seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan Program Makanan Sedunia serta Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM).

Kenyataan IOM menyebut, terdapat 19 petugas agensi berkaitan PBB yang turut menjadi korban nahas terbabit.Kebanyakkan mereka dijadual menghadiri perhimpunan tahunan Program Alam Sekitar PBB, yang bermula hari ini di Nairobi.

Di laman Twitter, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres turut meluahkan rasa sedih di atas kehilangan nyawa susulan nahas terbabit.

Antara insan yang kehilangan orang tersayang dalam nahas pesawat Ethiopian Airlines itu termasuklah ahli Parlimen Slovak, Anton Hrnko.

"Dengan penuh rasa sedih saya mengumumkan kematian isteri tercinta, Blanka, anak lelaki saya, Martin dan anak perempuan, Michala dalam nahas Ethiopian Airlines," tulis Hrnko di laman Facebook.

Menurut syarikat penerbangan terbabit, Kenya mendahului senarai mangsa paling ramai terkorban dengan 32 orang, diikuti Kanada 18 orang, Ethiopia sembilan, manakala Itali, China dan AS masing-masing dengan lapan mangsa.

Britain dan Perancis dengan tujuh orang mangsa, Mesir, enam dan Jerman dengan lima mangsa, bagaimanapun jumlah pecahan tersebut belum dapat dimuktamadkan.

Tragedi yang berlaku mengundang simpati dan ucapan takziah daripada seluruh pelusuk dunia, antaranya Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan rakan sejawatnya dari Britain, Theresa May yang menyifatkan insiden tersebut sebagai amat dahsyat.

Ucapan takziah turut diterima daripada wakil Ethiopia, Kenya, Uganda, Jerman, Perancis dan AS.

Pesawat Boeing 737-800MAX yang terbabit dalam nahas awal pagi semalam, merupakan pesawat baharu yang dihantar kepada Ethiopian Airways pada 15 November lalu.

Ia juga merupakan model sama yang terhempas ketika tragedi Lion Air pada Oktober tahun lalu yang mengorbankan kesemua 189 penumpangnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ethiopian Airlines,Tewolde GebreMariam berkata, pesawat berkenaan tiba dari Johannesburg awal pagi Ahad, berada selama tiga jam di Addis Ababa dan akhirnya dibenarkan berlepas tanpa sebarang masalah.

Ditanya jika juruterbang pesawat malang tersebut membuat panggilan kecemasan, GebreMariam berkata, juruterbang ada memaklumkan menghadapi masalah dan dia telah diberi kebenaran untuk berpatah balik. - AFP