Dewan Rakyat lulus peruntukan JPM dalam Bajet 2022 peringkat jawatankuasa

Suasana semasa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Suasana semasa Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan peruntukan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM6.03 bilion menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Bajet itu merupakan sejumlah RM6,030,234,000 peruntukan anggaran perbelanjaan mengurus di bawah JPM antaranya melibatkan Parlimen Malaysia (RM148,382,900), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM188,676,800) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (RM41,622,000).

Sebelum itu, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi hari pertama yang melibatkan JPM disertai pembahas daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas sebelum penggulungan oleh menteri-menteri di JPM.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat Jawatankuasa untuk kementerian lain dijadualkan sehingga 13 Disember.

Sesi perbahasan dan penggulungan esok dijangka melibatkan peruntukan bagi Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Luar.

RUU Perbekalan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu diluluskan di peringkat dasar pada 18 November lalu setelah dibahas dua minggu dan melalui proses penggulungan selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: