Dakwa ada ahli UMNO khianat parti ketika PRN Melaka

Mohamad Ali Mohamad
Mohamad Ali Mohamad
A
A
A

MELAKA - UMNO Bahagian Tangga Batu mendakwa wujud unsur sabotaj dalam kalangan ahli parti itu sendiri ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, terdapat dalam kalangan ahli parti itu didakwa bertindak membantu calon lawan dan tidak keluar untuk mengundi sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai melanggar prinsip parti.

Menurutnya, meskipun kejayaan Barisan Nasional (BN) telah dikecapi namun menerima beberapa laporan bahawa ada ahli UMNO melakukan perkara tidak baik kepada parti sepanjang PRN Melaka diadakan.

“Antaranya ada ahli UMNO yang sanggup tidak keluar membantu calon UMNO dan BN, mereka lebih memilih untuk membantu pihak lawan dan bersama atas dasar 'kononnya' kawan, tetapi ia tetap melanggar prinsip parti.

“Ada juga yang sanggup sabotaj parti dalam PRN Melaka hanya semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh UMNO,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau yang terkenal dengan panggilan Cikgu Ali berkata, Jawatankuasa UMNO Bahagian akan mengambil tindakan dengan menyingkirkan mereka yang terbukti melakukan sabotaj itu.

Menurutnya, Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga mengambil langkah dan tindakkan yang sewajarnya untuk menguatkan lagi kedudukan parti dan kesetiaan ahli kepada parti agar terus kukuh serta tidak berbelah bahagi.

"Perjuangan UMNO memerlukan ahli yang setia dan memberi komitmen kepada parti sama ada ketika senang atau susah.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu akan membuat pembersihan untuk menyingkirkan pengkhianat dan pembelot dalam UMNO Bahagian Tangga Batu.

"Ia perlu dilakukan demi menguatkan UMNO Bahagian Tangga Batu agar tiada lagi musuh dalam selimut," katanya.

Katanya, tindakan tegas itu untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

Katanya, semua Ketua Cawangan UMNO dalam Bahagian Tangga Batu diminta menghantar laporan dan bukti bagi mengenal pasti ahli UMNO yang menjadi pengkhianat, pembelot dan tidak setia serta sanggup sabotaj PRN Melaka sebelum ini.