Bayaran bantuan kewangan tanpa tunai diperluas ke seluruh negara

Rina (dua dari kiri) menerahkan replika kad bantuan kewangan tanpa tunai kepada seorang penerima pada Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Taman Sinar Harapan pada Isnin.
Rina (dua dari kiri) menerahkan replika kad bantuan kewangan tanpa tunai kepada seorang penerima pada Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Taman Sinar Harapan pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diperluaskan ke seluruh negara dengan sasaran penggunaan di semua negeri dalam tempoh dua tahun lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia dilaksanakan secara berperingkat melibatkan tiga fasa dengan enam negeri terlibat di bawah peluasan fasa pertama.

Menurutnya, enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Melaka, Perlis, Kelantan dan Selangor manakala fasa dua pula akan bermula pada awal tahun depan melibatkan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagi fasa tiga, sebanyak tujuh kawasan akan terlibat iaitu Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak serta dijangka dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Taman Sinar Harapan, di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ketua Setiausaha KPWKM, Dr Maziah Che Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed.

Rina berkata, perintis program bayaran bantuan kewangan tanpa tunai telah pun dimulakan pada Februari lalu selama enam bulan melibatkan 1,066 peserta di beberapa daerah di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Melaka.

Katanya, Kajian Kebolehlaksanaan Projek Rintis yang dilakukan menunjukkan hampir 80 peratus peserta memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan program ini berikutan ia memberi impak positif dari segi kawalan perbelanjaan serta menampung keperluan harian.

Artikel Berkaitan:

“Melalui projek rintis ini, seramai 246 pekedai telah dilantik di seluruh lokasi rintis dan program ini berjaya menjana ekonomi di lokasi terlibat di mana sebanyak RM334,059 transaksi telah direkodkan.

“Program ini juga memberi peluang kepada penerima bantuan dan peruncit terlibat dalam aktiviti ekonomi digital selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia selain memantapkan penyaluran bantuan kewangan melalui kaedah bayaran tanpa tunai.

“Laporan dan analisa trend perbelanjaan penerima bantuan yang dijana juga membolehkan kerajaan merancang pelan pembangunan pemberian bantuan lebih baik untuk manfaat golongan memerlukan,” katanya.

Jelas Rina, KPWKM mengalu-alukan dan membuka peluang kepada institusi kewangan di negara untuk bekerjasama dengan berkongsi perkhidmatan yang boleh ditawarkan selain menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk keselesaan golongan memerlukan.

“Setakat ini, kita telah membantu 513,826 penerima dengan perbelanjaan berjumlah RM2.2 bilion dan daripada jumlah itu, Terengganu merekodkan 41,673 penerima bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM125.4 juta,” jelasnya.