RM500 juta untuk basmi miskin tegar

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membelanjakan RM500 juta daripada RM1 bilion peruntukan projek khas tahun hadapan untuk membasmi masalah miskin tegar di negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meluluskan agihan peruntukan sebanyak RM1 bilion itu.

"Kita tidak ada peruntukan khusus bagi menangani miskin tegar kerana miskin tegar berada di bawah bidang tugas rata-rata kementerian.

"Jadi keputusan telah dibuat iaitu peruntukan RM500 juta daripada projek khas akan diguna untuk membiayai projek membasmi miskin tegar di seluruh negara dan setiap negeri akan dikenal pasti tiga, empat atau lima lokaliti untuk kita hapuskan miskin tegar secara bersasar atau lebih fokus," katanya di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022) peringkat jawatankuasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jeli (Bersatu) itu berkata, bagi mengenal pasti lokaliti itu, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM akan berbincang dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat iaitu seminggu dua lagi.

"Kita akan pilih kawasan-kawasan ini di seluruh negeri dan bila diluluskan Perdana Menteri, kita akan bincang strategi untuk tangani masalah miskin tegar ini.

"Dijangka pada Februari atau Mac kita akan mula laksanakan projek pembasmian miskin tegar di seluruh negara secara holistik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua aspek akan diambil kira dalam pemilihan kawasan untuk pelaksanaan projek itu.

"Masalah miskin tegar membelenggu rakyat tanpa mengira bangsa sama ada Cina, India namun paling ramai adalah golongan bumiputera selain kita lihat peratusan miskin tegar di bandar dan luar bandar.

"Di bandar jumlah miskin tegar adalah sebanyak 55 peratus manakala 45 peratus di luar bandar, maka akan ada senarai daripada kawasan bandar juga," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak RM350 juta lagi daripada peruntukan projek khas itu akan diguna untuk membiayai projek yang tidak tersenarai tahun depan oleh sebab tertentu membabitkan projek kritikal yang perlu dilaksanakan yang mempunyai impak yang besar.

"Jadi RM350 juta akan digunakan untuk projek-projek yang tidak diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang juga melibatkan projek-projek kecil yang berimpak tinggi di kawasan Felda," ujarnya.