X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Rayuan Najib untuk dapatkan dokumen bank didengar 16 Mac 2022

A
A

PUTRAJAYA- Mahkamah Rayuan telah menetapkan 16 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dokumen yang didakwa mempunyai kaitan dengan pembelaan beliau dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nadia Mohd Kamal.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nur Syahirah Hanapiah mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada prosiding tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Mohamad Mustaffa ketika dihubungi media.

Pada Julai tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen membabitkan bank pelaburan Amerika Syarikat iaitu Goldman Sachs, keluarga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Pada 24 Mac lepas, Najib, 68, memfailkan perintah mahkamah bagi memaksa pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jho Low serta ahli keluarga Zeti dalam kes 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan kedua pada 7 April lepas untuk mendapatkan persetujuan penyelesaian sulit antara kerajaan dan Kumpulan Goldman Sachs yang ditandatangani pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan kes di hadapan Sequerah itu dijadual bersambung pada 13 Disember depan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!