Global Royalty fail saman terhadap Rosmah

Rosmah.- Foto fail Bernama
Rosmah.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Firma barang kemas Lubnan Global Royalty Trading SAL akan memfailkan semula saman terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut ganti rugi terhadap 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta yang didakwa masih berada dalam milikan isteri bekas Perdana Menteri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada Isnin.

“Pihak kami telah memfailkan afidavit untuk mengesahkan bahawa setelah pemeriksaan oleh wakil Global Royalty pada 25 Oktober hingga 3 November lepas di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM), hanya satu gelang berlian milik Global Royalty dijumpai daripada 44 barangan kemas yang dituntut oleh Datin Seri Rosmah.

“Sebelum ini, kami telah menarik balik saman sivil yang difailkan terhadap beliau (Rosmah) pada 2019 kerana perlu mengesahkan sekiranya 44 barangan kemas itu berada di BNM atau tidak...jadi, kami akan memfailkan semula saman sivil itu kerana kami percaya 43 barangan kemas tersebut masih ada dalam simpanan beliau,” kata peguam itu.

Gurupatham berkata, berdasarkan memorandum konsainan, Rosmah perlu membayar jumlah harga barangan kemas tersebut sekiranya beliau tidak memulangkannya semula kepada Global Royalty.

Barangan kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018 yang didakwa berkaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Gurupatham berkata, mahkamah telah menetapkan 23 hingga 27 Mei 2022 untuk pendengaran tuntutan pelucuthakan barangan lain yang disita di premis Obyu Holdings termasuk barangan kemas, jam dan beg tangan serta cermin mata.

“Ia juga termasuk seutas gelang berlian bernilai AS$220,000 milik Global Royalty yang ditemui semasa pemeriksaan di BNM,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin mengesahkan tarikh tersebut.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.- Bernama