Buruh didakwa bunuh rakan

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh.
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh.
A
A
A

IPOH - Seorang buruh binaan warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar, 18 tahun lalu.

Niwar Ali, 50, minta dibicarakan sebaik pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Tertuduh yang mempunyai taraf pemastautin tetap didakwa dengan niat menyebabkan kematian Rebin Sumadi Suwoko dengan melakukan kesalahan tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai runcit di tapak pembinaan terbabit pada jam 1.25 pagi, 14 April 2001.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling, manakala tertuduh diwakili Peguam K Nahtan.

Terdahulu, Nahtan dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana tertuduh mempunyai seorang abang yang juga pemastautin tetap hadir ke mahkamah untuk menjamin.

Mahkamah bagaimanapun tidak memberi sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa ditemui mati dengan kesan tetakan senjata tajam di bahagian kanan leher, belakang pinggang dan kaki.

Siasatan lanjut dibuat kemudiannya membawa penahanan dua suspek iaitu lelaki Indonesia berusia 50 tahun yang mempunyai kad pengenalan pemastautin tetap dan seorang wanita warga Indonesia, 49, di hadapan sebuah rumah sewa di Hulu Selangor, Selangor, jam 8.45 malam 25 Februari lalu.