Kerajaan di fasa akhir bangun Dasar Tenaga Nasional: Mustapa

MUSTAPA
MUSTAPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Perancang Ekonomi (UPE) dengan kerjasama bersama kementerian dan agensi sedang dalam fasa akhir membangunkan Dasar Tenaga Nasional (NEP) 2021-2040 yang komprehensif bagi tempoh jangka panjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, NEP itu akan menyumbang ke arah mencapai jaminan tenaga jangka panjang pada harga yang kompetitif dan dalam masa yang sama memastikan kelestarian alam sekitar.

“Ini sangat penting kerana pelabur kini semakin memberi perhatian kepada penyelesaian dan amalan yang diselaraskan dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya semasa berucap pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2021) yang diadakan secara maya pada Isnin.

Mustapa berkata, NEP akan diselaraskan dengan Perjanjian Paris kerana Malaysia komited secara sukarela untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijaunya sebanyak 45 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

Dalam hal ini, katanya, Malaysia sedang berusaha untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

“Gas asli, digabung dengan gas karbon rendah dan gas boleh diperbaharui lain seperti hidrogen dan biogas, dijangka memainkan peranan penting dalam NEP dan dalam strategi kita untuk mencapai keneutralan karbon.

“Kita memerlukan industri gas asli yang dinamik dan mampan. Bagi mencapai matlamat ini, UPE juga membangunkan Pelan Hala Tuju Gas Asli atau NGR sebagai komponen utama keseluruhan Dasar Tenaga Nasional,” katanya.

Mustapa berkata, hari ini dunia menyaksikan permintaan global gas asli mengatasi penawarannya, menyebabkan harga gas asli cecair (LNG) bagi Asia dan banyak negara di dunia ini melonjak ke paras yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesanggupan pembeli Asia untuk membayar premium dan menawarkan harga yang lebih tinggi berbanding yang lain telah menarik bekalan LNG dari Eropah menyebabkan berlakunya krisis tenaga di benua tersebut.

Menurutnya, ketidakupayaan tenaga boleh diperbaharui untuk membekalkan sumber terjamin elektrik terus memberi tekanan kepada bekalan bahan api fosil, menyebabkan harga komoditi tenaga meningkat yang seterusnya meningkatkan harga elektrik di Eropah.

“Hasil daripada dasar yang disediakan kerajaan, Malaysia tidak berdepan dengan krisis tenaga seperti yang dialami di Eropah.

“Kerajaan, menerusi UPE, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan agensi seperti Petronas, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Bhd sentiasa mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan jaminan tenaga berterusan bagi negara kita,” katanya.

Mustapa berkata, industri gas Malaysia membawa masuk lebih daripada RM135 bilion setiap tahun kepada keseluruhan ekonomi dan menyumbang kepada kesejahteraan sosio ekonomi Malaysia menerusi penciptaan pekerjaan berkualiti, menyokong output ekonomi, meningkatkan perdagangan luaran dan membimbing syarikat tempatan menjadi pemain global.

"Sektor Peralatan dan Perkhidmatan Minyak dan Fas (OGSE) yang kebanyakannya terdiri daripada perniagaan dan tenaga kerja tempatan, juga merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara, terutamanya sektor gas Malaysia.

"Awal tahun ini, saya melancarkan Rangka Tindakan Industri OGSE Nasional 2021-2030 bagi memudahkan penerimagunaan prinsip ESG dan peralihan tenaga,” katanya. - Bernama