Malaysia gesa ASEAN, China bekerjasama tingkatkan multilateralisme

Ismail Sabri (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi persidangan video, hari ini.

 Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi persidangan video, hari ini.

 Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN dan China boleh bekerjasama meningkatkan multilateralisme, khasnya dalam membaharui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan badan dunia itu kekal relevan dan berkesan di tengah-tengah pandemik global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, orde dunia berdasarkan multilateralisme adalah amat penting.

“Orde sedemikian membolehkan kewujudan bersama tamadun berasaskan peraturan, terbuka, inklusif dan telus yang aman serta mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi sidang video di sini pada Isnin.

Sidang Kemuncak Khas itu dipengerusikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selaku pengerusi ASEAN tahun ini.

Turut menyertai sidang kemuncak ini ialah Presiden China, Xi Jinping.

ASEAN dan China menyedari hakikat bahawa perlunya keamanan serta kestabilan untuk mencapai pembangunan ekonomi dan kehidupan bertamadun sepertimana saranan Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam pertemuan secara maya pada minggu lepas.

“Hubungan bilateral China-AS antara paling penting di dunia. Meskipun perbezaan tetap wujud, Malaysia mengalu-alukan pengiktirafan tanggungjawab kolektif kedua-dua negara ke arah mengekalkan keamanan, pembangunan dan kemajuan sosial,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai perubahan iklim, Ismail Sabri berkata, Malaysia beraspirasi mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih menjelang tahun 2050 serta menyambut baik komitmen China dan pihak lain pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP-26) di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Beliau turut menekankan mengenai keperluan mengimbangi antara menangani perubahan iklim dan kepentingan pembangunan sosioekonomi melalui Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) dan Perjanjian Paris.

“Kami puji gesaan China supaya negara maju memenuhi kewajipan mereka dengan menyediakan kewangan, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti kepada negara membangun dalam usaha mereka ke arah menangani perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengulangi pendirian tegas Malaysia mengenai isu Laut China Selatan bahawa ia perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Malaysia menggesa semua negara terus mengekalkan Laut China Selatan sebagai laut perdagangan yang aman dan stabil.

Justeru, katanya, semua pihak perlu mengelak mengambil sebarang tindakan yang boleh dianggap provokatif dan boleh merumitkan lagi situasi serta meningkatkan ketegangan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, Malaysia turut menekankan mengenai kepentingan pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan dan rumusan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC). - Bernama