Saran tubuhkan Akademi MQT, lahirkan ramai pentadabbur

Gambar kiri: Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim
Gambar kiri: Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Akademi My #QuranTime (MQT) dengan pengisian kurikulum tadabbur al-Quran perlu ditubuhkan untuk melahirkan lebih ramai pentadabbur di pelbagai peringkat dalam masyarakat dalam membina generasi al-Quran.

Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata demikian dalam program Learning Day bertajuk “Misi Bersama Al-Quran & Akademi MQT” bersama warga kerja Yayasan Warisan Ummah Ikhlas secara dalam talian pada 18 November lalu.

Beliau sebagai peminat My #QuranTime (MQT) telah menyarankan kepada Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub agar menginstitusikan program tersebut sebagai Akademi MQT bagi golongan pelajar dan Sahabah Al-Quran untuk memanfaatkan ilmu al-Quran secara berterusan.

Program MQT menampilkan moderator dan pentadabbur, Fazrul Ismail dan qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali di TV AlHijrah pada setiap hari jam 12 tengah hari.

Mohamad Nordin berkata, MQT menjadi jenama sangat popular yang disampaikan secara santai, dan realistik, bersesuaian untuk orang awam. Penonton tidak bosan dengan pendekatan pentadabbur untuk memahami ayat al-Quran dan dikaitkan dengan isu semasa yang dekat di hati masyarakat.

“Tujuan penubuhan Akademi MQT adalah melahirkan orang yang mahir atau murabbi dalam bidang tadabbur. Ia juga boleh menyantuni Sahabah Al-Quran yang selama ini setia untuk berkongsi ilmu.

“Apa yang diusahakan WUIF bersama beberapa pentadabur selama ini diharapkan dapat melimpahkan ilmu dan kemahiran tersebut dengan melatih murabbi yang lain dalam bidang pembangunan al-Quran.

“Kini ramai orang menghafaz al-Quran di institusi dan pusat tahfiz. Mereka ada potensi untuk dididik semula dalam penghayatan al-Quran melalui kurikulum tadabbur. Kita perlu masukkan kurikulum tadabbur di peringkat institusi tahfiz dan memberi latihan tadabbur dalam kalangan guru tahfiz.”

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, untuk mencapai matlamat melahirkan pelajar tahfiz profesional ke arah generasi al-Quran, banyak proses perlu dilakukan untuk memartabatkan al-Quran. Ia memberi penekanan terhadap penghayatan al-Quran agar mereka menjadi orang yang menjiwai, berakhlak dan ikuti cara hidup al-Quran.

“Pihak WUIF boleh menggemblengkan tenaga bersama pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia untuk membuat modul tadabbur yang khusus untuk melatih golongan sasaran di peringkat akademia.

“Untuk membudayakan al-Quran, masyarakat perlu baca, faham, hafaz dan amal melalui penghayatan al-Quran. Oleh itu harapan saya setiap pelajar seawal usia 10 tahun memiliki senakshah al-Quran terjemahan.

“Ia menjadi bahan bacaan wajib untuk dihayati setiap hari. Pada masa sama, guru mungkin boleh mulakan kelas dengan bertadabbur ayat al-Quran berkaitan subjek tersebut. WUIF perlu berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan dalam menjayakan kempen tersebut,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/myqurantimeofficial