8 juta liter air dicuri setiap hari di Sepanggar: JANS

Edward dalam sidang akhbar menjelaskan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kota Kinabalu di pejabatnya di Sembulan, Kota Kinabalu.
Edward dalam sidang akhbar menjelaskan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kota Kinabalu di pejabatnya di Sembulan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menganggarkan sebanyak enam hingga lapan juta liter air dicuri setiap hari di sekitar Sepanggar.

Pengarahnya, Ir Edward Lingkapo berkata, jumlah air yang dicuri setiap hari itu sebenarnya mampu menampung bekalan di dua kawasan perumahan yang mengalami masalah di bandar raya ini.

Menurutnya, penguatkuasaan perlu dilakukan secara bersepadu dengan agensi lain kerana ada perkara bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

"Kebanyakan kejadian kecurian air berlaku di kawasan Sepanggar yang terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) atau setinggan yang didiami warga asing atau tempatan.

"Enakmen kita tidak membenarkan perkhidmatan bekalan air diberi kepada mereka disebabkan status tanah dan status bukan warganegara.

"Masalah besar kita pula, kita tidak dapat ambil tindakan mengusir dan menangkap (PATI) kerana ia di luar bidang kuasa kami," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pejabat JANS di Sembulan, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung masalah air yang kritikal dihadapi pengguna di beberapa kawasan di bandaraya utara Kota Kinabalu termasuk di University Utama Condominium (UUC) dan University Condo Apartment 2 (UCA2).

Tambah beliau lagi, jika tiada kecurian air tekanan air akan dapat dipertingkatkan sekali gus dapat menampung masalah air di UUC da UCA2.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Edward memohon orang ramai dan agensi lain membantu JANS membanteras kegiatan kecurian air dengan membuat laporan supaya tindakan segera dapat diambil.

Sebelum itu, beliau memaklumkan kekurangan bekalan air yang berlaku di kawasan bandaraya utara Kota Kinabalu disebabkan kerosakan pada pam air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1.

"Krisis ini akan berterusan dijangka sehingga hujung minggu ini disebabkan dua pam air terawat telah terbakar dan apa yang kita lakukan kini adalah dengan membuat penghantaran air kepada penghuni yang terjejas.

"Kita juga turut mencadangkan pihak pengurusan perumahan supaya menyediakan tangki statik supaya air yang dihantar dapat diisi dan penduduk boleh mengambil air dari tangki berkenaan," katanya.