Dinamika perkhidmatan awam penuhi aspirasi rakyat dan negara

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir selaku Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (tiga dari kanan) ketika mengurniakan Anugerah Alumni Tersohor UKM kepada Mohd Khairul Adib.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir selaku Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (tiga dari kanan) ketika mengurniakan Anugerah Alumni Tersohor UKM kepada Mohd Khairul Adib.
A
A
A

Sektor perkhidmatan awam perlu ditransformasi seiring dengan perubahan nilai yang berlaku dalam keseluruhan aspek kehidupan masyarakat Malaysia meliputi politik, sosial dan teknologi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, persepsi masyarakat terhadap penjawat awam kini sudah jauh berubah berbanding ketika tempoh selepas kemerdekaan.

Menurutnya, masyarakat Malaysia kini dilihat mahu lebih aktif dalam proses libat urus dan pembentukan polisi yang dilaksanakan kerajaan.

“Dahulu, masyarakat hanya terlibat lima tahun sekali iaitu ketika mereka mengundi dalam pilihan raya, tetapi mereka kini menghendaki kerajaan untuk sentiasa melibatkan mereka dalam pembentukan polisi.

“Sekarang ini, masyarakat sudah beranggapan kerajaan dan penjawat awam adalah sebagai pemudah cara untuk memastikan kelangsungan hidup masing-masing.

“Penjawat awam perlu lebih aktif dalam perkhidmatan dan proses libat urus yang dijalankan bersama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Town Hall bersama warga Universiti Awam (UA) dan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bertemakan ‘Bangsa Berilmu, Semarak Aspirasi Negara’ di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini pada Selasa.

Sebelum sesi tersebut, Mohd Khairul Adib turut menerima Anugerah Alumni Tersohor UKM sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian cemerlang beliau dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia dan UKM.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak swasta kini berharap agar perkhidmatan awam menjadi pengawal selia yang tidak bersifat mengongkong tetapi sebaliknya menyokong usaha mengembangkan sektor tersebut.

Untuk menangani isu tersebut katanya, perubahan perlu dimulakan melalui penyampaian yang berasaskan amalan norma baharu khususnya terhadap amalan birokrasi yang digunakan dalam sistem pengurusan dan perkhidmatan awam.

Meskipun mengakui birokrasi merupakan aspek penting dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan awam, namun beliau berpandangan keber- kesanannya masih boleh ditingkatkan dengan melakukan perubahan terhadap kaedah penilaian prestasi kerja yang digunakan ketika ini.

MOHD KHAIRUL ADIB
MOHD KHAIRUL ADIB

“Sekarang kita lebih memberikan penekanan kepada input iaitu masuk 8 pagi dan balik 5 petang. Bagaimanapun, dengan senario semasa, penjawat awam bekerja dari rumah (BDR), input itu sudah tidak relevan lagi.

“Pada masa hadapan, kita perlu terus lebih melihat kepada output (hasil),” katanya yang turut berpandangan penjawat awam perlu diberikan lebih kepercayaan sekiranya kaedah tersebut dilaksanakan.

Penekanan output berbanding input

Sementara itu katanya, penting untuk perkhidmatan awam menekankan keperluan output perkhidmatan yang diberikan kerana landskap pekerjaan kini telah mula bergerak ke arah perkhidmatan digital tanpa perlu bersemuka.

Ketua jabatan dalam perkhidmatan awam juga ketika ini sentiasa disarankan untuk melakukan improvisasi terhadap prosedur yang digunakan supaya ia lebih relevan dengan keadaan semasa terutamanya dengan norma baharu yang diamalkan ketika pandemik Covid-19.

Menurut beliau, ketika negara mula memasuki tempoh pasca pandemik Covid-19, penjawat awam juga dijangka perlu sentiasa menyampaikan perkhidmatan tidak kira di mana mereka berada.

“Pada masa hadapan, perkhidmatan awam ini akan berada di merata tempat. Rakyat tidak lagi perlu ke bandar atau ke pejabat kerajaan kerana mereka boleh mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan hanya di hujung jari.

“Jadi, inilah cabarannya kepada penjawat awam untuk berubah daripada dogma yang ada sekarang ini iaitu memberikan perkhidmatan lebih berbentuk fizikal kepada sesuatu yang lebih fleksibel,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran untuk memastikan kebebasan penjawat awam khususnya daripada pengaruh politik, Mohd Khairul Adib berkata, senario politik negara dalam tempoh empat tahun lepas dilihat berjaya mematangkan sektor perkhidmatan awam.

Menurut beliau, perubahan kerajaan yang berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh tersebut secara langsung berjaya meletakkan perkhidmatan awam sebagai institusi yang benar-benar bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Sesi ‘Town Hall’ yang bertemakan Bangsa Berilmu, Semarak Aspirasi Negara pada Selasa itu turut melibatkan sesi soal jawab bersama peserta yang hadir.
Sesi ‘Town Hall’ yang bertemakan Bangsa Berilmu, Semarak Aspirasi Negara pada Selasa itu turut melibatkan sesi soal jawab bersama peserta yang hadir.

Melaksanakan proses Gen-Set

Perkhidmatan awam juga perlu melakukan proses penetapan generasi atau ‘generation setting’ (Gen-Set) terhadap komponen penting dalam sektor tersebut termasuk mempersiapkan modal insan dengan kemahiran dan kebijaksanaan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran pekerjaan pada masa hadapan.

“Pada setiap tahun ada setengah juta kelahiran,” katanya.

Oleh itu katanya, pelaksanaan Undi 18 akan melihat lebih ramai anak muda menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan.

“Seramai setengah juta anak muda akan memasuki alam pekerjaan pada setiap tahun. Kita perlu melihat bagaimana perkhidmatan awam dapat mencerminkan masa depan yang bakal berlaku.

“Untuk bertahan, generasi baharu perlu lengkap dari segi fizikal, mental dan spiritual. Sekiranya mereka hanya cukup dari segi fizikal dan mental tanpa spiritual, maka akan banyak berlaku ketirisan,” ujarnya.

Mohd Khairul Adib turut mengakui, pada masa hadapan kerajaan bakal menghadapi cabaran untuk menampung perbelanjaan gaji dan elaun pencen kepada penjawat awam disebabkan oleh jumlahnya yang agak besar.

Bagaimanapun, pihaknya masih menghadapi desakan untuk melakukan penambahan bilangan penjawat awam disebabkan nisbah penduduk berbanding penjawat awam yang dilihat masih tidak mencukupi.

“Banyak diperkatakan mengenai saiz perkhidmatan awam yang agak besar, tetapi adakah itu benar? Sebenarnya tidak.

“Pada masa ini, kita mendapat kebenaran daripada jemaah menteri untuk menganggarkan jumlah penjawat awam dengan nisbah 20 penduduk bagi setiap penjawat awam.

“Jika ikut kiraan tersebut, kita perlu mempunyai 1.71 juta penjawat awam berbanding hanya 1.6 juta perjawatan yang wujud pada ketika ini,” ujarnya.