X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

JAS Johor ambil sampel sisa pencemaran Sungai Masai

Mohd Famey (kiri) ketika melihat sampel yang diambil pegawai JAS di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini pada Isnin.
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengambil sampel sisa buangan yang didakwa menyebabkan pencemaran di Sungai Masai, Kampung Pasir Gudang Baru di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, sampel itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut kerana sisa buangan berkenaan bukanlah bahan yang biasa ditemui dalam insiden pencemaran.

“Pada siasatan awal, kita dapati ada beberapa kemungkinan, minyak pun ada kemungkinan dan mungkin bahan-bahan lain. Kita juga terima makluman yang kejadian ini bukan kerap berlaku dan ini adalah kali pertama.

“Jadi kita perlukan siasat dan dapatkan maklumat lebih terperinci memandangkan apa kita lihat (bahan) ini adalah beza daripada kejadian pencemaran yang lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di Kampung Pasir Gudang Baru di sini gusar untuk turun ke laut kerana pencemaran sisa buangan berupa tompokan putih di kawasan berkenaan.

Mohd Famey berkata, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Jabatan Kimia untuk mempercepatkan siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Kita akan minta kerjasama Jabatan Kimia untuk analisa kandungan sisa ini, selain kita juga akan cuba buat pengesan cap jari (finger print) untuk lihat kemungkinan premis yang mana boleh hasilkan bahan ini.

“Sebab ini juga adalah kejadian pertama kali, kita memang akan minta kerjasama daripada penduduk setempat terutamanya nelayan memandangkan mereka lebih kenal kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan pencemaran di Sungai Masai itu turut mempunyai kaitan dengan kejadian yang sama berlaku di Sungai Kong Kong Laut, di sini.

“Kita juga terima laporan perkara sama juga berlaku di Sungai Kong Kong Laut, kerana berdasarkan daripada bahan yang digunakan sifatnya agak sama, berdebu.

“Jadi siasatan berkaitan perkara ini memang kita akan perincikan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!