4,885 kes baharu, 91 kes kategori tiga hingga lima

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 4,885 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat 91 kes kategori tiga hingga lima manakala selebihnya, 4,794 kes atau 98.1 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada jumlah kes baharu itu juga, terdapat 18 jangkitan dari luar negara manakala 4,867 kes merupakan penularan tempatan menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 adalah 2,591,486 kes.

"Sebanyak 549 kes dirawat di unit rawatan rapi dengan 274 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, KKM turut merekodkan 5,628 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,493,437 kes.

"Tujuh kluster baharu Covid-19 dikenal pasti KKM dengan jumlah keseluruhan 5,888 kluster.

"Sebanyak 5,655 kluster telah tamat dan 233 lagi masih aktif," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan indikator utama jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan pada minggu epidemiologi (ME) ke-46 kecuali purata kes aktif yang meningkat enam peratus berbanding ME ke-45.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, trend penurunan purata kes aktif yang dahulunya konsisten selama 10 minggu kini telah menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran merentas negeri diumumkan

"Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini dapat dilihat di mana kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit kronik tiga hingga lima mulai meningkat.

"Walau bagaimanapun, keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mengurangkan kematian terus dapat dilihat di mana secara keseluruhannya terdapat penurunan kes kematian, kes memerlukan rawatan di ICU, dan kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan," jelasnya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, aktiviti penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi ME-46 mencatatkan 344 kompaun terhadap individu dan 66 arahan penutupan premis dikeluarkan.

"Ini menjadikan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Menurutnya, peningkatan kompaun yang dikeluarkan itu menunjukkan masih ramai penduduk Malaysia yang alpa terhadap pengamalan SOP sebagai pencegahan Covid-19 seterusnya berisiko tinggi untuk menyebarkan atau mendapat jangkitan wabak itu.

"Berdasarkan data, individu gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan no telefon merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 233 kes.

"Ia diikuti oleh lain-lain kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya (62), gagal memakai pelitup muka (56), gagal mengamalkan penjarakan fizikal (19), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (dua) dan satu premis didapati tidak menyediakan peralatan suhu atau tidak berfungsi," jelasnya.