'Setiap 24 saat berlaku korban akibat nahas jalan raya'

António Guterres
António Guterres
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pada Ahad menggesa supaya langkah-langkah keselamatan di jalan raya terus dipertingkat berikutan berlakunya kematian setiap 24 saat.

"Setiap 24 saat berlaku korban akibat nahas jalan raya.

Sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia diadakan bagi mengenang kematian tragis berjuta-juta orang," katanya dalam satu kenyataan.

Tema tahun ini menekankan kepentingan mengurangkan had laju di jalan raya untuk mengelak kematian dan kecederaan serius, khususnya kepada wanita dan lelaki muda, pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain yang terdedah seperti kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

"Saya menggesa setiap negara, syarikat dan rakyat untuk menyokong usaha tempatan dan global bagi menjadikan jalan raya lebih selamat, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mencatat lebih 90 peratus kematian jalan raya di dunia.

"Saya juga menggalakkan semua negara anggota untuk mematuhi konvensyen keselamatan jalan raya PBB dan melaksanakan pelan tindakan masyarakat menyeluruh - dan menyeru semua penderma untuk meningkatkan sumbangan kewangan dan teknikal yang sangat diperlukan melalui Dana Keselamatan Jalan Raya PBB."

"Sementara kita menanti mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun depan untuk meningkatkan langkah keselamatan jalan raya, marilah kita mengingatkan bahawa setiap daripada kita berperanan memastikan jalan raya yang selamat," kata setiausaha agung itu.

Sambutan itu dirai pada Ahad ketiga November setiap tahun sebagai memperingati mangsa nahas jalan raya dan waris keluarga. Dimulakan oleh badan amal mangsa kemalangan jalan raya Britain, RoadPeace pada tahun 1993, ia kemudian diiktiraf Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2005. - Bernama

Artikel Berkaitan: