Iswami atur gerak kerja rancakkan sektor berkepentingan Malaysia-Indonesia

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (Iswami) Malaysia akan melaksanakan beberapa program menerusi kerjasama Iswami Indonesia dan media Indonesia, dalam mempromosi dan merancakkan kembali sektor berkepentingan di kedua-dua negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sejak pandemik Covid-19 melanda pada awal tahun lepas, sektor-sektor berkepentingan seperti pelancongan dan pendidikan teruk terjejas dan memerlukan satu gerak kerja baharu semua pihak termasuk sinergi Iswami dan media bagi memulihkan kembali sektor-sektor terbabit.

Presiden Iswami Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain berkata, selain fokus mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, Iswami juga merancang mengadakan program kerjasama media seperti pertukaran wartawan, seminar, forum, bengkel dan webinar, perancangan sambutan Hari Wartawan Nasional 2022 serta penyertaan Iswami Malaysia pada Hari Pers Indonesia 2022.

"Selain itu Iswami juga berperanan membantu kerajaan menerusi kerjasama media kedua-dua negara dalam menggerakkan kembali sektor-sektor sosioekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," kata Mokhtar dalam ucapan pertamanya selepas dipilih sebagai Presiden Iswami Malaysia untuk penggal 2021/2023.

Mokhtar yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dipilih memegang jawatan itu sewaktu Mesyuarat Agung Iswami Malaysia yang diadakan pada 19 November lepas.

Mokhtar menggantikan Presiden sebelum ini, Abdul Rashid Yusof yang memutuskan untuk mengundurkan diri selepas memimpin sejak tahun 2019.

Presiden Iswami Malaysia itu akan mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa yang baharu dalam tempoh terdekat, yang secara tradisinya diwakili ketua-ketua pengarang atau pimpinan utama media selain tokoh-tokoh wartawan di Malaysia.

Iswami yang ditubuhkan pada 8 Jan 2008 dianggotai pelbagai agensi, pertubuhan dan organisasi media Malaysia. Iswami turut ditubuhkan di Indonesia yang ketika ini dipimpin Presiden Iswami Indonesia, Asro Kamal Rokan.

Artikel Berkaitan:

Iswami ditubuhkan bertujuan mengharmonikan hubungan Malaysia dan Indonesia dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama, selain berperanan sebagai pengantara kepada media di kedua-dua negara dalam menangani isu-isu semasa. - Bernama

****

Berikut senarai pimpinan dan jawatankuasa baharu Iswami Malaysia untuk sesi 2021/2023:

Presiden: Datuk Mokhtar Hussain (Bernama)

Timbalan Presiden: Datuk Zulkefli Hamzah (UtusanTV)

Naib Presiden I: Rozaid Abdul Rahman (Sinar Harian)

Naib Presiden II: Ashwad Ismail (Astro Awani)

Setiausaha: Mohd Shukri Ishak (Bernama)

Bendahari: Ahmad Yani Abd Manaf (Karangkraf)

Penolong Bendahari: Azhar Abu Samah (Berita Harian)

Setiausaha Kerja: Mohd Razman Abdullah (Bernama)