X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Pejabat JETCO di Singapura dibuka secara fizikal

Pejabat JETCO yang bakal menjadi jambatan pengukuh antara Johor dan Singapura akan dibuka secara fizikal di republik itu pada suku pertama tahun depan.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) yang bakal menjadi jambatan pengukuh antara Johor dan Singapura akan dibuka secara fizikal di republik itu pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, aktiviti dan libat urus bersama pemegang taruh awam dan swasta sedang dijalankan dan akan dipergiat seiring dengan pembukaan pejabat JETCO secara fizikal itu.

JETCO adalah antara inisiatif Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan pada Jun tahun lepas.

"Kerajaan negeri percaya, keberadaan JETCO di Singapura akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk menggiatkan aktiviti ekonomi di antara Johor dengan Singapura serta menjadi jambatan pengukuh bagi hubungan budaya dan pelancongan yang sedia terjalin," katanya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan lisan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) mengenai sejauh mana Tujuh Ikhtiar Makmur Johor memberikan impak kepada proses pemulihan ekonomi Johor pasca Covid-19.

Mengenai jajaran ekonomi baharu, Hasni berkata, secara konsepnya ia mengambil peluang limpahan daripada pelaksanaan Keretapi Berkelajuan Tinggi Johor Bahru-Singapura.

"Meskipun pembinaannya tidak lagi diteruskan, Johor masih dapat menikmati limpahan ekonomi daripada pembinaan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru.

"Kedua-dua projek mega ini akan memberi kesan positif kepada Johor dalam pelbagai sektor ekonomi dan secara langsung, menjadikan infrastruktur pengangkutan di Johor lebih matang dan menyeluruh," kata Hasni.

Menjawab soalan tambahan Dzulkefly mengenai rasional saranan Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) untuk menggunakan khidmat perunding pelaburan, Hasni berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menarik pelaburan ke Johor.

Menurutnya, pelantikan perunding pelaburan tidak bermaksud untuk mengetepikan atau dilihat sebagai satu kelemahan terhadap usaha pelaburan pihak seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebaliknya antara usaha untuk menarik pelaburan.

"Johor berpendapat, kita tidak boleh bergantung kepada sistem sedia ada, tetapi Johor dengan kekuatan ada, usaha sendiri dengan melantik perunding pelaburan yang fokus kepada China, Timur Tengah misalnya kerana kita berdepan dengan pandemik yang berbeza, dari segi iklim, selera pelabur. Kena ada satu rujukan atau kajian awal sebelum pelaburan dibuat," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!