Petronas tidak rahsia prestasi kewangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangannya kerana boleh diakses oleh orang awam menerusi laman web syarikat itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun laporan kewangan itu tidak dibentangkan di Parlimen, ia tidak bermakna kerajaan tidak mengetahui operasi Petronas.

"Petronas telah membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai perkembangan dan pencapaian syarikat khususnya prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh diakses oleh orang awam walaupun tidak disenaraikan di bursa saham.

"Di samping itu, Petronas mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media pada setiap suku tahun dan juga taklimat kepada media pada setiap separuh tahun," katanya pada sidang sesi pertanyaan menteri bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai laporan prestasi kewangan Petronas yang tidak dilaporkan di Parlimen sejak mula beroperasi hingga kini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, laporan kewangan Petronas itu tidak dibentangkan di Parlimen kerana tiada diperuntukkan dalam undang-undang.

"Tidak ada akta yang memaksa Petronas membentangkannya," katanya.

Beliau menegaskan, sebagai entiti komersial yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, Petronas sentiasa mengamalkan aspek tadbir urus korporat yang baik di bawah teraju Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang berkaliber.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, prestasi Petronas juga amat membanggakan apabila dalam tempoh suku pertama tahun ini, syarikat itu mencatat keuntungan lebih RM18 bilion.

"Oleh kerana harga minyak mentah Brent hari ini sekitar AS$80 setong, ia memberi kesan yang baik kepada prestasi Petronas," katanya.

Mustapa memberitahu, Petronas yang merupakan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan diperbadankan mempunyai operasi huluan di lebih daripada 20 negara dan operasi hiliran di lebih daripada 90 negara.

Katanya, setakat tahun 2020, sejumlah RM1.2 trilion telah disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, bayaran tunai dan cukai.