Malaysia bantu Afghanistan wujudkan hak asasi rakyat

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menjalin hubungan dengan pemerintah Afghanistan pada masa ini bagi membantu mereka mewujudkan sebuah negara yang memberikan hak asasi kepada semua rakyat termasuk dari sudut amalan demokrasi dan hak wanita.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Malaysia secara rasminya mempunyai hubungan yang rapat dengan Afghanistan dan banyak membantu kerajaan dan negara berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas.

“Berkaitan Taliban (pentadbiran baharu Afghanistan) ini, kita ada hubungan yang kita lakukan melalui saluran-saluran tertentu misalnya pada September lalu, rombongan daripada Global Peace Mission Malaysia telah melawat Afghanistan dan menemui pimpinan Taliban.

"Melalui kedutaan kita khususnya di Qatar, kita mempunyai saluran perhubungan dengan pihak pemerintah Afghanistan sekarang untuk tujuan memastikan mereka berjaya mewujudkan sebuah negara yang memberi hak asasi kepada semua rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai peranan Malaysia bagi membantu Taliban yang dilihat sebagai pengganas oleh masyarakat antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) sama ada Malaysia akan mengikut jejak Turki, Itali dan Jerman yang dilaporkan akan membuka kedutaan di negara bergolak itu, Kamarudin berkata, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Afghanistan melalui Pesuruhjaya Tinggi di New Delhi, India yang turut ditauliah kepada negara Afghanistan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan berpandangan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan bukanlah faktor utama perubahan dasar luar negara itu di rantau Asia Tenggara.

Sebaliknya, beliau berkata, dasar luar AS banyak dipengaruhi oleh pentadbiran semasa negara tersebut yang ketika ini dipimpin Presiden Joe Biden.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan percaya penglibatan yang lebih aktif oleh AS di rantau ini adalah penting dari segi diplomasi, politik mahupun ekonomi. Pada masa sama, ia juga berpotensi membawa cabaran geopolitik di rantau ini.

“Dalam berhadapan dengan situasi ini, kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang pragmatis dan mengekalkan hubungan serta kerjasama yang baik dengan semua negara termasuk AS. Pendekatan ini adalah bagi memastikan negara dapat manfaat yang penuh melalui setiap kerjasama yang terjalin,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mengenai persiapan kerajaan menghadapi kemungkinan dasar luar AS pascapengunduran tenteranya secara besar-besaran dari Afghanistan khususnya kesan geopolitik di rantau Asia Tenggara. - Bernama