Sekolah di empat negeri dibuka semula hari ini

Guru Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya di sini mengambil suhu badan murid-murid setibanya mereka ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan hari ini. - Foto Bernama
Guru Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya di sini mengambil suhu badan murid-murid setibanya mereka ke sekolah bagi memulakan sesi persekolahan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka di empat negeri mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Rata-rata ibu bapa teruja dengan pembukaan itu berikutan Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah telah memasuki Fasa Empat PPN sejak dua minggu lepas susulan penurunan kes positif Covid-19 yang dilihat sebagai hasil kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi pelajar pula, mereka berharap sesi persekolahan bersemuka akan berterusan kerana lebih berkesan dalam aspek pemahaman berbanding Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.

Di PULAU PINANG, Haslinda Abdul Latiff Khan, 36, berkata, dia tidak gusar untuk menghantar anak perempuannya Alisha Khayla Mok, 7, kembali ke sekolah malah optimis untuk melihat kejayaan kerajaan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19 ke atas warga sekolah melalui inisiatif dilaksanakan bagi jangka masa panjang.

"Rasa yakin (hantar anak ke kembali ke sekolah) sebab program vaksinasi yang dilaksanakan terdahulu dilihat menunjukkan pengurangan kes positif. Jadi, sebagai ibu bapa saya mahu lihat sejauh mana kejayaan inisiatif kerajaan itu,” katanya kepada Bernama ketika melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya dekat Perai pada Isnin.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, daripada keseluruhan 532,231 pelajar di Sabah, sebanyak 266,116 terlibat dalam sesi persekolahan secara bersemuka pada Isnin, manakala selebihnya menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 162,308 pelajar sekolah rendah dan 103,808 pelajar sekolah menengah terlibat dengan sesi pembelajaran secara bersemuka pada Isnin.

“Semasa pembukaan sekolah ini, kehadiran murid adalah secara penggiliran mengikut minggu. Sebahagian murid akan hadir ke sekolah manakala sebahagian murid lagi belajar di rumah,” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Amni Mardhiah Fauzi, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Telipok, Tuaran berkata, peluang untuk belajar secara bersemuka akan digunakan sebaiknya bagi menuntut ilmu dan berharap selepas ini sesi bersemuka dapat diteruskan.

“Seronok dapat jumpa cikgu dan kawan-kawan, lain kalau jumpa dalam talian dan belajar apabila bersemuka ini lebih mudah faham selain kita dapat berbincang dengan lebih baik. Memang mencabar belajar dalam keadaan pandemik ini tetapi kita jangan patah semangat hendak tuntut ilmu,” katanya.

Di PERLIS, sebanyak tujuh sekolah rendah dibenarkan beroperasi secara penuh bagi sesi pembelajaran bersemuka pada Isnin kerana bilangan pelajarnya tidak melebihi 150 orang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh mengenai jumlah kehadiran murid Darjah Satu hingga Tingkatan Empat bagi semua sekolah untuk hari pertama.

"Terdapat lebih 41,000 pelajar sekolah rendah dan menengah serta murid prasekolah di Perlis (jumlah keseluruhan) dan kita jangka separuh daripada jumlah itu hadir ke sekolah hari ini," katanya.

Di PERAK, lebih 1,000 pegawai perhubungan sekolah (PPS) terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di 1,102 sekolah rendah dan menengah bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain PPS, Unit Rondaan Bermotosikal dan anggota polis trafik turut ditugaskan untuk memantau lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan keselamatan pelajar terpelihara.

"Kita bukan sahaja memantau (SOP) pada awal pagi tetapi pada waktu tengah hari juga kerana apabila pelajar mahu balik ke rumah, ibu bapa hendak cepat mengambil anak mereka hingga berlakunya ketidakpatuhan SOP,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemantauan SOP Covid-19 bersama pengurusan Sekolah Kebangsaan Cator Avenue, Ipoh.

Pada 8 November lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan institusi pendidikan di Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah kembali beroperasi mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat PPN bermula pada Isnin, manakala bagi Kedah pula bermula Ahad. - Bernama