Identiti pengiring terbongkar

No Image Caption
A
A
A

MENJADI pemandangan biasa di negara ini jika melihat pengemis cacat penglihatan dipimpin oleh seseorang yang celik mata berjalan dari meja ke meja di sesebuah restoran sambil menghulurkan tisu, penanda buku atau kalendar kecil untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Dari kaca mata kasar kita lihat keakraban si pengemis cacat penglihatan itu bersama teman pengiringnya seperti mempunyai pertalian keluarga.

Melihat mereka saling bersentuhan yang mana biasanya tangan pengiring di atas bahu pengemis cacat penglihatan pasti kita menyangka mereka mungkin sahaja pasangan suami isteri, adik beradik atau anak beranak.

Tinjauan wartawan mendapati, rata-rata orang cacat penglihatan yang ditemui mengaku tiada hubungan kekeluargaan pun dengan pengiring yang memimpin mereka.

Misalnya seorang pengiring wanita berusia lingkungan 40an yang ditemui mengaku dia adalah jiran sebelah rumah kepada lelaki cacat penglihatan Abu Adul dan mengiringi jirannya itu untuk mencari wang dengan menjual tisu.

Pengiring cuma jiran sebelah rumah

Ketika ditanya sama ada mereka pasangan suami isteri, wanita berkenaan terus menjawab bahawa mereka berdua cuma tinggal berjiran.

"Saya kerja tolong dia (Abu) kerana isterinya tidak boleh membantu dia. Saya sendiri bekerja pada waktu siang dan membantu dia pada waktu malam," kata Jamilah.

Artikel Berkaitan:

Kelibat OKU penglihatan ditemani wanita celik menjual tisu dari meja ke meja di sebuah restoran di Shah Alam.
Kelibat OKU penglihatan ditemani wanita celik menjual tisu dari meja ke meja di sebuah restoran di Shah Alam.

Sebagai pengiring Jamilah berperanan memimpin Abu dari meja ke meja di restoran sambil memerhatikan Abu, 67, menghulurkan tisu kepada pelanggan termasuk ke tempat wartawan sedang duduk makan.

Sambil menghulurkan tisu, Abu dan Jamilah tersenyum manis dan menunggu kami menghulurkan wang.

"Tidak kisah nak beri berapa. Terpulanglah derma kamu," kata Jamilah.

Kami mengambil peluang untuk berbual bersama Abu yang memang cukup peramah.

"Saya dah berusia 67 tahun tetapi terpaksa bekerja untuk menyara keluarga. Kalau tak kerja (jual tisu) siapa nak beri saya makan? Dalam sehari tidak tentu pendapatan yang boleh diperoleh. Kadang-kadang cuma RM50 sehari," katanya.

Jika RM50 sehari diperoleh, ini bermakna pendapatan OKU itu RM1,500 sebulan.

Menurut Abu dia mempunyai enam orang anak dan 24 cucu.

Kata lelaki itu, sejumlah mana pun pendapatan diperolehnya sehari, pasti akan dikongsinya bersama Jamilah yang membantunya bekerja.

Seorang lagi OKU cacat penglihatan dari Kuala Lumpur mengaku, pengiringnya yang merupakan seorang wanita adalah jirannya.

"Jiran ini bantu bawa saya bekerja menjual tisu setiap hari. Pendapatan diperoleh biasanya tidak menentu, cuma boleh dapat lingkungan antara RM50 dan RM100 sehari," katanya.

Saidin juga bekerja menjual tisu dari restoran ke restoran yang menjadi tumpuan orang ramai di Shah Alam, Selangor.

Lelaki berusia 57 tahun itu memberitahu, jumlah wang yang berjaya diperoleh akan dikongsi bersama pengiringnya Muliati berusia lingkungan 30an.

Dari gaya pertuturan, wanita menjadi teman pengiring Saidin adalah wanita Indonesia yang diupah untuk mengiringnya ketika bekerja menjual tisu.