Tambah nilai produk IKS untuk pasaran luar Kedah

Azrool Izdwan (kiri) mendengar penerangan daripada Rosnah (tiga dari kanan) berhubung produk batik yang dihasilkan di Bengkel Liyana Batique Collections, Pusat Komuniti Kreatif Kampung Lebai Saman, Naka, Kuala Nerang baru-baru ini.
Azrool Izdwan (kiri) mendengar penerangan daripada Rosnah (tiga dari kanan) berhubung produk batik yang dihasilkan di Bengkel Liyana Batique Collections, Pusat Komuniti Kreatif Kampung Lebai Saman, Naka, Kuala Nerang baru-baru ini.
A
A
A

KUALA NERANG - Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) tampil membantu menaik taraf nilai produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan produk pelancongan di Kedah.

Penyelidik SCIMPA, Profesor Madya Dr Adzrool Idzwan Ismail berkata, kira-kira 150 peserta dari daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang mengikuti Kursus Keusahawanan Kraf Kreatif secara percuma menerusi pendedahan daripada golongan profesonal.

Beliau berkata, kursus yang dijalankan di tiga lokasi berbeza dan diadakan secara bersiri melibatkan peserta berumur seawal 16 tahun sehingga 56 tahun.

"Selepas semua peserta melengkapkan tempoh bilangan jam yang telah ditetapkan, SCIMPA akan memberikan pengiktirafan dengan memberikan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu.

"Apa yang dilakukan ini juga diharapkan menjadi platform membantu mereka yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan," katanya semasa ditemui di Bengkel Liyana Batique Collections, Pusat Komuniti Kreatif Kampung Lebai Saman, Naka dekat sini baru-baru ini.

Azrool Izdwan berkata, semua peserta akan pulang untuk menghasilkan produk masing-masing atau menaik tarafkan produk tersebut, sebelum diletakkan di pusat komuniti kreatif untuk dipamerkan dan dijual.

"Kita juga akan melihat perkembangan dan membantu meningkatkan ekonomi iaitu kira-kira 11 kilometer dari sekitar pusat ini. SCIMPA akan menilai dan cuba meningkatkan taraf produk IKS termasuk memanggil usahawan luar. Jika berminat, mereka akan memasarkan di luar Kedah atau di platform dalam talian," ujarnya.

Sementara itu, pemilik Liyana Batique Collections, Rosnah Musa, 41, berkata, kerjasama yang dilakukan dengan UUM secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung terutamanya generasi muda.

Artikel Berkaitan:

"Antara produk yang sudah ada di sini ialah produk batik dengan jenama Cyntok Bhatik yang dihasilkan sendiri termasuk kerepek pisang dan ikan pekasam.

"Kira-kira 25 penduduk kampung pelbagai umur secara tidak langsung sudah mendapat manfaat dan pendapatan sampingan apabila hadir membantu menghasilkan produk-produk ini selepas mereka pulang daripada menoreh getah," katanya.