Subsidi haji: Pakar ekonomi saran jemaah perlu sedia terima hakikat

No Image Caption
A
A
A

Seperti sedia maklum, peranan Tabung Haji (TH) telah menjadikan pelaksanaan urusan rukun Islam yang kelima bagi umat Islam negara ini lebih mudah dan teratur.

Segala keperluan berkaitan visa haji, pengangkutan, sajian makanan, penginapan di Makkah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji diuruskan sepenuhnya pihak TH.

Malah jemaah haji kita lebih beruntung kerana bayaran haji Malaysia adalah yang terendah jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain beserta dengan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia.

Menyentuh tentang kos haji, ketika ini bayaran yang ditanggung jemaah haji negara hanyalah sebanyak RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak tahun 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung oleh TH (bagi musim haji 2019).

Kos Meningkat

No Image Caption

Kos pelaksanaan haji meningkat setiap tahun dan tahun ini dijangka melonjak berikutan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi naik kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelumnya serta infl asi yang terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

Kenaikan kos itu juga disebabkan beberapa aspek termasuk bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akibat penularan wabak Covid-19. Berlaku perbezaan ketara kos haji ketika 2019 iaitu sebanyak RM22,900 berbanding tahun ini yang dianggarkan akan naik kira-kira RM25,500.

Pemberian subsidi adalah satu bentuk bantuan oleh TH kepada pendepositnya. Namun, pemberian secara pukal dan menyeluruh ini bakal memberi impak kepada kelestarian TH.

Apatah lagi subsidi haji ini yang ditanggung secara langsung oleh TH tidak hanya terpakai kepada golongan tertentu tetapi turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi.

Oleh itu, sudah tiba masanya TH tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi dan bakal haji perlu bersedia untuk membayar lebih serta tidak boleh lagi bergantung kepada subsidi.

Isu penarikan subsidi pastinya menjadi bualan hangat dan tidak digemari rakyat. Namun persoalannya, adakah subsidi ini wajar diteruskan jika ia mendatangkan kesan besar kepada ekonomi dan masa depan TH?

Terima Hakikat

Dr Ahmed Razman
Dr Ahmed Razman

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pendeposit TH perlu bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan subsidi haji tidak lagi ditawarkan pada masa akan datang.

Rasionalnya, pemberian subsidi itu bukan sesuatu yang bersifat kekal kerana ia tidak termaktub dalam Akta Tabung Haji, selain cabaran yang dihadapi institusi kewangan Islam utama di Malaysia.

Malah, tiba masanya untuk TH menilai kembali pemberian subsidi haji secara menyeluruh atau pukal ini bagi memastikan ekonomi institusi kewangan Islam itu kekal mampan pada masa akan datang.

Menurutnya, sejak subsidi haji mula diperkenalkan sejak 2001, TH telah menanggung beban kewangan yang tinggi apabila subsidi ini meningkat setiap tahun akibat kos haji yang tinggi.

Keadaan ini bertambah membimbangkan apabila agensi kewangan itu juga tidak terlepas daripada impak perniagaan yang tidak menguntungkan beberapa tahun yang lalu.

Namun katanya, penilaian kembali subsidi ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau mengejut.

“Satu konsep khas perlu difi kirkan di mana konsep subsidi atau muassasah ini harus diberikan kepada golongan tertentu sahaja seperti B40. Manakala golongan M40 dan T20 yang tidak berada di bawah muassasah perlu mengambil pakej haji tanpa subsidi.

“Apapun kaedah atau konsep yang akan dibuat kelak perlu mengambil kira faktor asal iaitu membantu golongan B40,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun tidak menolak jika berlaku penarikan subsidi ia bakal mencetuskan isu hangat dalam kalangan masyarakat.

Namun katanya, perkara itu sememangnya tidak dapat dielakkan dan rakyat perlu berpegang kepada reality dan pada masa sama kerajaan dan TH sendiri perlu ada solusi yang jelas dalam menangani isu ini.

“Jika benar subsidi akan dihapuskan, satu penerangan yang jelas harus dilakukan supaya pendeposit atau umat Islam yang berhasrat menunaikan haji dapat membuat perancangan kewangan.

“Saya percaya setiap keputusan yang diambil pastinya mengguna pakai satu kajian yang panjang dan bukan terus dilaksanakan begitu sahaja.

“Sebagai contoh, mungkin perancangan ini ambil masa 10 tahun iaitu dalam tempoh lima hingga 10 tahun itu, pengurangan subsidi dilakukan sedikit demi sedikit.

“Dalam situasi ini, pendeposit dapat melakukan perancangan kewangan yang sewajarnya dan hasrat mereka menunaikan haji itu tercapai,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihati umat Islam khususnya pendeposit TH agar sedar dan faham bahawa kewajipan menunaikan fardu haji diwajibkan ke atas mereka yang berkemampuan sahaja termasuk kemampuan dari segi kewangan.

Isu penarikan subsidi tidak seharusnya dijadikan alat propaganda sebaliknya fahami konsep bahawa subsidi tidak akan kekal selama-lamanya.

Polemik

Dr Zaharuddin
Dr Zaharuddin

Tokoh Kewangan Islam, Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman berpandangan, TH terpaksa berdepan kekangan dalam menangani isu penarikan subsidi kerana ia membabitkan konteks ekonomi dan politik.

Realitinya, kedudukan kewangan TH akan menjadi semakin sukar kerana terpaksa menanggung beban kenaikan kos haji setiap tahun, sedangkan Jemaah hanya membayar kurang sekali ganda daripada kos asal.

“Ia akan menjadi lebih rumit kerana apa sahaja yang menjadi tindakan TH untuk kurangkan subsidi kelak akan dilihat sebagai tindakan kurang popular dari sudut politik. Impak politik pasti akan berlaku.

“Bagi saya, apabila ada campur tangan politik dalam polisi sebegini maka ia perlu ditangani secara politik dan ekonomi sekali gus,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpendapat, TH tidak disaran untuk memberhentikan pemberian subsidi secara mendadak kerana fungsi institusi itu akan dipersoalkan.

“Terlalu drastik jika tidak ada subsidi langsung kerana fungsi dan kewujudan TH sudah jelas. Tetapi jika dikurangkan atau subsidi itu ada had tertentu, saya fikir ini lebih baik untuk kelangsungan TH.

“Apa pun, berbalik kepada hokum Islam di mana kewajipan menunaikan haji adalah berdasarkan kepada kemampuan. Jemaah tidak boleh hendak bergantung dengan TH semata-mata.

“Kita kena faham institusi itu bersifat membantu dan jika dipaksa untuk meneruskan subsidi sedangkan keadaan ekonomi tidak mengizinkan maka kita tidak boleh memaksa, ia akan runtuh. Rakyat kena faham situasi ini,” katanya.

September lalu, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman melaporkan, kos haji dijangka meningkat pada musim haji akan datang berdasarkan pelaksanaan SOP yang ditetapkan.

SOP itu memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie.