X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Hasil tangan kaum Penan pikat pembeli dari Eropah

Foto Bernama
A
A

MIRI - Masyarakat Penan yang sinonim dengan usaha memanfaatkan hasil hutan demi kelangsungan hidup kini mengorak langkah ke hadapan tanpa mensia-siakan bakat mereka apabila menghasilkan kraf tangan yang mampu memikat pembeli dari Eropah, sekali gus menembusi pasaran di benua itu.

Meskipun tidak terlibat secara langsung dalam proses memasarkan kraf tangan yang dihasilkan mereka, produk seperti beg tangan Penan yang dianyam menggunakan bahan terpakai seperti polipropelina telah mendapat permintaan tinggi dari negara seperti Jerman dan Switzerland, sesuatu yang perlu dibanggakan.

Mendedahkan perkara itu, peniaga di Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati Ibrahim, 52, berkata, beliau menjual kraf tangan yang dibeli daripada masyarakat Penan di Ulu Baram selain memiliki beberapa produk yang dihasilkannya sendiri.

“Beg tangan Penan ini memang berkualiti tinggi dan kemasan kerja sangat bagus sebab itu mendapat permintaan yang tinggi di negara luar antaranya New Zealand, Jordan, Australia serta Switzerland.

“Beg ini pun sudah terjual ke Jerman lebih 200 unit. Saya membuat pengeposan dari Kuala Lumpur kerana perlu melalui beberapa proses seperti membuat pengisytiharan bahan untuk membuat beg ini dan sama ada ia dapat dilupuskan atau tidak sebelum diberi kebenaran memasuki negara itu,” katanya kepada Bernama.

Norsiati berkata, selain berjaya dijual di benua Eropah, beg tangan Penan juga berupaya mendapat tempat di butik pereka fesyen terkenal negara, Bill Keith.

Menceritakan kembali saat mula menceburi bidang penjualan kraf tangan itu 21 tahun lepas, beliau berkata, hanya keazaman dan semangat yang tinggi mampu membawanya ke tahap ini.

“Saya bermula dengan modal RM50. Produk kraf tangan yang dijual pada waktu itu pun tidak banyaK. Sedikit demi sedikit saya kumpul wang dengan hasil jualan dan ketika ini, saya mampu membuat jualan melebihi lima angka sebulan,” katanya.

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama

Walau sebesar mana cabaran dan halangan yang dihadapi sejak mula berniaga, sifat berputus asa tiada dalam kamus hidup Norsiati dan itulah rahsia beliau mampu bertahan dan pada masa sama, berbangga dengan pencapaiannya hari ini.

Mengulas mengenai Pusat Kraf Tangan Miri, Norsiati berkata, ia menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapatkan produk kraf tangan yang diidamkan mereka.

“Dengan adanya tempat seperti ini, ia memudahkan kami para peniaga dan juga pembeli kerana mereka tidak perlu lagi tercari-cari di mana hendak mendapatkan produk kraf tangan. Produk ini masih tidak dilupakan dan mempunyai peminatnya yang tersendiri selain digunakan sebagai cenderahati pada majlis tertentu,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Batheria Aming turut mengakui beg tangan Penan merupakan ‘barangan panas’ dan sering menjadi tumpuan pelanggan apabila melangkah masuk ke pusat itu.

“Kebanyakan pelanggan, sama ada dari Semenanjung ataupun tempatan, akan tertarik melihat beg tangan itu, mungkin kerana warnanya yang pelbagai serta kualitinya yang kemas,” katanya.

Boleh dikatakan hampir separuh kedai yang terdapat di premis itu menjual beg tangan Penan yang secara tidak langsung menarik pelanggan untuk menjenguk perniagaan mereka.

Pusat Kraf Tangan Miri di Jalan Merbau di sini yang dibangunkan dengan kos RM1.9 juta dan beroperasi sejak tahun 2018, menjadi tarikan pelancongan di utara Sarawak bagi membantu usaha memulihara kepelbagaian warisan budaya etnik di Bumi Kenyalang ini.

Secara keseluruhan, terdapat 13 gerai menjual pelbagai produk kraf tangan selain juadah tradisi etnik serta subetnik yang terdapat di sini dan pastinya akan menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar Sarawak. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!