Penganggur miliki pil yaba dicekup ketika baiki motosikal

Pil yaba yang dirampas dalam serbuan di Kampung Repek, Pasir Mas pada Sabtu.
Pil yaba yang dirampas dalam serbuan di Kampung Repek, Pasir Mas pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang penganggur dicekup polis selepas didapati memiliki 191 biji pil yaba bernilai RM1,910 dalam serbuan di Kampung Repek di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, lelaki berusia 29 tahun itu yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah ditangkap semasa sedang membaiki motosikal di belakang rumahnya.

"Kita menahan lelaki itu pada jam 9 malam. Hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek menjumpai bekas hijau mengandungi sebiji pil yaba di dalam poket seluar jean yang dipakainya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, anggota polis kemudian membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Kancil sambil dipandu arah oleh suspek.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu beg kecil berwarna biru putih jenama di bawah papan pemuka kereta itu mengandungi 190 biji pil yaba," ujarnya.

Menurutnya, suspek mengaku dadah yang dijumpai itu adalah miliknya.

"Suspek memberitahu bekalan dadah itu diambil daripada seorang lelaki yang tinggal di Kampung Cabang Empat Repek di sini.

"Polis sedang kesan lelaki itu bagi membantu siasatan. Saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952;

Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.