Pengusaha IKS tertekan harga bahan mentah meningkat

Hamidah menunjukkan produk sejuk beku yang dihasilkan syarikatnya kini berdepan cabaran akibat kenaikan harga mendadak bahan mentah.
Hamidah menunjukkan produk sejuk beku yang dihasilkan syarikatnya kini berdepan cabaran akibat kenaikan harga mendadak bahan mentah.
A
A
A

IPOH - Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya dalam sektor pemprosesan makanan mula berdepan tekanan apabila harga bahan mentah untuk produk mereka naik mendadak.

Bukan itu sahaja, harga bekas plastik dan kertas bungkusan makanan juga meningkat menyebabkan mereka terbeban ketika perniagaan sedang mula pulih.

Seorang usahawan produk sejuk beku, Hamidah Sulaiman, 47, berkata, peningkatan harga yang ketara boleh dilihat bagi bahan mentah seperti lobak merah dan kulit popia untuk produk popia serta samosa keluarannya.

Menurutnya, sebagai contoh, sebelum ini harga bagi lobak merah adalah RM24 untuk 10 kilogram (kg) berbanding kini mencecah sehingga RM35, begitu juga dengan barang-barang mentah yang lain.

"Kenaikan harga ini mula disedari sejak bermulanya kebenaran rentas negeri oleh kerajaan. Keadaan ini menyebabkan usahawan IKS seperti kami terbeban kerana baharu sahaja nak stabil.

"Peningkatan harga mendadak ini menyebabkan margin keuntungan berkurangan dan kos operasi pula makin meningkat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini dia belum bercadang untuk menaikkan harga produk sejuk beku keluarannya namun sedia mempertimbangkan tindakan tersebut jika harga bahan mentah meningkat.

Seorang lagi usahawan, Nor Azizah Amri, 48, pula berkata, bekas plastik dan bungkusan makanan untuk produknya juga turut naik harga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai contoh kertas bungkusan makanan yang sebelum ini dijual RM2 sekarton kini meningkat sehingga RM4.20 begitu juga dengan bekas plastik.

Dia yang menjual kuih peneram berkata, kenaikan harga tersebut menyebabkan kos operasi terus meningkat jika tidak dikawal dengan sebaiknya.

Jelasnya, peniaga yang baharu memulakan operasi akan terbeban dengan peningkatan pelbagai kos terutama bagi pembungkusan produk.

Masalah sama turut membelenggu pengusaha biskut dan kek apabila mereka kini mula pening kepala dengan kenaikan harga ketara bahan-bahan untuk membuat pastri sejak dua bulan yang lalu.

Pengasas produk Padussi Cookies, Erni Yulina Tajab, 52, berkata, antara bahan yang paling ketara berlaku peningkatan harga ialah coklat dan marjerin.

Katanya, harga coklat yang digunakan dalam ramuan produk keluarannya meningkat daripada RM219 kepada RM250 bagi 25kg.

Erni Yulina (duduk, empat dari kanan) bersama pekerjanya menunjukkan produk yang dihasilkan mereka.
Erni Yulina (duduk, empat dari kanan) bersama pekerjanya menunjukkan produk yang dihasilkan mereka.

"Pihak kilang yang mengeluarkan coklat tersebut memberi alasan kenaikan itu disebabkan peningkatan kos operasi. Mereka ambil masa sebulan untuk tetapkan harga jualan baharu coklat tersebut.

"Jadi mahu tidak mahu kita terpaksa terima harga itu sebab kita tak boleh nak tukar coklat yang lebih murah kerana akan menjejaskan kualiti produk," katanya.

Bagi pengusaha kek, Noor Izzah Sinar, 36, pula, kenaikan harga bahan mentah secara mendadak itu amat membebankan usahawan kecil luar bandar sepertinya.

Dia yang menjalankan perniagaan di Bagan Datuk berkata, usahawan kecil di luar bandar tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan bahan mentah kerana di tempatnya hanya ada satu kedai pembekal bahan-bahan membuat kek.

Menurutnya, disebabkan keadaan itu, pembekal boleh sesuka hati menaikkan harga barangan mereka kerana mengetahui peniaga atau usahawan setempat tidak mempunyai pilihan lain.

"Kalau kami nak bahan-bahan yang lebih murah kena beli jauh sikit mungkin ke Ipoh atau Manjung tetapi ia akan melibatkan kos yang tinggi sedangkan keuntungan atau jualan tidak seberapa. Jadi tak berbaloi.

"Keadaan ini amat perlu diberikan perhatian oleh kerajaan untuk mengawal kenaikan harga bahan mentah secara mendadak oleh pembekal," ujarnya.

Dia berkata, harga telur yang merupakan bahan utama dalam pembuatan kek juga sentiasa berubah dan meningkat.

Jelasnya, sebagai peniaga dia serba salah untuk menaikkan harga produk kerana bimbang tidak mendapat sambutan dari pelanggan yang kebanyakannya turut terkesan akibat penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, kenaikan harga bahan mentah antara 50 hingga 100 peratus daripada harga biasa pastinya membebankan pengusaha IKS yang sudah terkesan begitu teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Menurutnya, bukan sahaja terpaksa menanggung pelbagai kerugian akibat jualan merudum, mereka turut dibebani hutang serta tunggakan bayaran yang belum dijelaskan.

"Kami bimbang wujudnya satu tindakan mengambil kesempatan dalam kalangan peniaga terutama pemborong mungkin disebabkan mereka mahu mendapatkan semula keuntungan atau mengatasi kerugian yang dialami pada tempoh dua tahun lepas. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan peniaga IKS.

"Justeru, kerajaan perlu melakukan tindakan segera dan serius dalam menangani kenaikan harga barang yang dianggap melampau ketika ini dengan mengawal harga barang supaya tidak meningkat terlalu tinggi dan penguatkuasaan serius perlu dilakukan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan dana pembiayaan dan pinjaman untuk pusingan modal kepada usahawan IKS tersebut.

Katanya, pinjaman tersebut perlulah dipermudahkan tanpa mengenakan syarat-syarat yang ketat, cagaran dan mewujudkan pelbagai syarat lain.

Jelasnya, kempen menggalakkan pembelian barangan tempatan juga perlu dipertingkatkan dengan lebih agresif oleh kerajaan bagi meningkatkan kuasa beli dalam kalangan rakyat.