Penghuni kem pelarian Kabul perlukan baju sejuk

Foto fail AP
Foto fail AP
A
A
A

KABUL - Di kala suhu yang kini mencecah -1 darjah Celcius sekali gus membuatkan seseorang menggigil kesejukan, rakyat Afghanistan sedang bergelut mempersiapkan keperluan menghadapi musim sejuk ekstrem yang akan tiba.

Selain dihimpit kemiskinan dan kekurangan bekalan makanan, keadaan bertambah sukar bagi ribuan penghuni kem pelarian perang di kawasan Adimazar yang terletak 12 kilometer dari tengah bandar Kabul kerana turut ketiadaan 'Levas Zemastani' untuk bertahan dalam cuaca sejuk.

Levas Zemastani bermaksud baju sejuk dalam bahasa Pashto dan ia menjadi keperluan yang sukar diperoleh penghuni kem terbabit ketika musim sejuk.

Suhu sejuk yang boleh mencecah hingga -15 darjah Celsius itu pernah menyebabkan penduduknya maut akibat hipotermia.

Justeru ketibaan delegasi Muslim Care Malaysia (MCM) baru-baru ini yang membawa 700 pasang baju sejuk menerusi misi bantuan kemanusiaan ke negara bergolak itu merupakan satu rahmat kepada penghuni kem pelarian berkenaan.

Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata, baju sejuk itu diagih kepada golongan dewasa, kanak-kanak serta bayi.

"Kebanyakan yang berada di kem ini datang dari pelbagai wilayah di Afghanistan dan berpindah ke sini selepas rumah mereka musnah di bom tentera.

"Difahamkan 230 keluarga tinggal di penempatan yang dibina berasaskan tanah liat dan beratapkan plastik yang tentunya sukar untuk mereka bertahan dalam keadaan sejuk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Afghanistan terus bergolak apabila tentera Taliban menumbangkan kerajaan Mohammad Ashraf Gani pada pertengahan Ogos lepas. - Bernama