Terbuka Malaysia: Eain Yow janjikan persembahan terbaik

Eain Yow.- Foto fail Bernama
Eain Yow.- Foto fail Bernama
A
A
A

PEMAIN skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow berjanji menampilkan persembahan terbaik dalam usahanya mempertahankan gelaran pada Terbuka Malaysia 2021 yang akan bermula Selasa hingga Sabtu ini, di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Walaupun hampir dua tahun tidak menyertai sebarang kejohanan, juara dunia remaja 2016 itu yang menjalani latihan di Bristol, England di bawah bimbingan Hadrian Stiff, bersama para pemain profesional termasuk pemain nombor dua dunia Mohamed El Shorbagy dari Mesir, sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan itu.

“Saya yakin penyokong boleh mengharapkan satu persembahan yang baik daripada saya.

“Pastinya hebat apabila sebuah kejohanan besar dapat diadakan semula di Malaysia dan ia juga amat berfaedah untuk para pemain muda yang berpeluang melihat pemain-pemain terbaik dunia beraksi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Eain Yow, yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2019, merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Pemain berusia 23 tahun itu menerima ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan berdepan sama ada dengan seorang lagi pemain Malaysia Ivan Yuen atau Lau Tsz Kwan dari Hong Kong pada pusingan kedua.

Selain Eain Yow dan Ivan, tiga lagi pemain Malaysia yang turut bertanding Syafiq Kamal, Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam.

Bagi kategori wanita, cabaran Malaysia akan digalas oleh Rachel Arnold, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ooi Kah Yan. - Bernama

Artikel Berkaitan: