Kesepakatan dicapai reda konflik di Sudan

Abdel Fattah (kanan) bersetuju mengembalikan semula kuasa kepada Abdalla. - Foto: Agensi
Abdel Fattah (kanan) bersetuju mengembalikan semula kuasa kepada Abdalla. - Foto: Agensi
A
A
A

KHARTOUM - Ketua junta tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan bersama Perdana Menteri, Abdalla Hamdok pada Ahad mencapai kesepakatan untuk meredakan konflik di negara Afrika Utara itu yang berdepan ketidakpastian sejak insiden rampasan kuasa pada bulan lalu.

“Perjanjian politik telah dipersetujui antara Abdel Fattah, Abdalla, puak politik dan pertubuhan masyarakat sivil untuk mengembalikan semula kedudukan Perdana Menteri serta membebaskan tahanan kepimpinan awam.

“Di bawah perjanjian baharu itu, Abdalla juga diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kabinet bebas dibarisi teknokrat,” kata perantara kanan, Fadlallah Burma yang juga Ketua Parti Umma.

Menurutnya, persetujuan itu diharap dapat mengembalikan semula proses peralihan yang rapuh menuju ke arah demokrasi penuh yang masih gagal direalisasikan sejak bekas Presiden, Omar al-Bashir digulingkan pada tahun 2019.

Difahamkan, butiran terperinci tentang perjanjian itu akan diumumkan secara rasmi selepas deklarasi politik dimeterai.

Bagaimanapun, blok awam utama yang menerajui protes menentang Omar dan memeterai perjanjian perkongsian kuasa dengan tentera menolak kesepakatan itu.

“Kami tetap dengan pendirian sebelum ini. Tiada rundingan, tiada perkongsian dan legitimasi untuk rampasan kuasa,” ujar Angkatan Kebebasan dan Perubahan (FFC) dalam satu kenyataan.

Blok itu turut menuntut pemimpin junta dibicarakan kerana menjejaskan kesahihan proses peralihan kuasa, melakukan penindasan dan membunuh penunjuk perasaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, pejabat Abdalla mengesahkan beliau telah dibebaskan daripada tahanan rumah malah kawalan ketat yang dikenakan sekitar kediamannya turut ditarik balik.

Pada 25 Oktober lalu, tindakan Abdel Fattah mengumumkan perintah darurat dan merampas kuasa telah mencetuskan kemarahan rakyat serta negara antarabangsa.

Kira-kira dua minggu selepas insiden rampasan kuasa tersebut, pemerintah junta didakwa cuba mengukuhkan cengkaman mereka apabila menubuhkan majlis pemerintah baharu dengan melantik pemimpin tentera dan anggota baharu orang awam untuk membarisi Majlis Kedaulatan. - Agensi