Kekalkan hutan simpan, kerajaan bayar pampasan kepada Pahang

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melawat ke gerai pameran ketika Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melawat ke gerai pameran ketika Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Majlis Daerah Bera hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - [DIKEMASKINI] Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan pampasan kepada Pahang berikutan komitmen negeri itu mengekalkan hutan simpan dengan jumlah tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan tersebut.

Menurutnya, jumlah yang bersesuaian difikirkan supaya kerajaan negeri mendapat manfaat dan dalam masa sama tidak membebankan kerajaan Persekutuan.

"Di Semenanjung, Pahang adalah negeri tertinggi yang mengekalkan hutan simpan lebih 57 peratus dan pengorbanan itu kita tidak lupakan.

"Mengenai pengorbanan kerajaan Pahang untuk mengekalkan hutan simpan, sebenarnya kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan pampasan kepada Pahang dan mana-mana negeri yang mengekalkan hutan simpan mereka," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya pada pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ujar beliau, kerajaan sedang mengkaji formula terbaik untuk menyalurkan jumlah pampasan yang sewajarnya kepada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua pihak terbabit termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan duduk berbincang dalam mendapatkan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

"Kita akan selesaikan dengan segera formula tersebut," ujarnya lagi.