Kerajaan mahu pendapatan PMKS ditingkatkan melalui pendigitalan

Mustapa. - Foto fail Bernama
Mustapa. - Foto fail Bernama
A
A
A

BERA - Kerajaan mahu memastikan pendapatan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meningkat dan kemiskinan dihapuskan melalui agenda pendigitalan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, tujuan utama Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 adalah untuk melonjakkan lagi agenda pendigitalan PMKS dan memastikan pendapatan PMKS bertambah, sekali gus meningkatkan pendapatan Malaysia.

“Kita mahu jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan untuk itu, digital adalah strateginya.

“Kalau lihat China pada Februari tahun ini menyiarkan, tidak ada orang miskin di China dan antara strategi yang dilakukan ialah mendigitalkan perusahaan termasuk di luar bandar.

"Maka, kita mahu antara lain strategi menghapuskan kemiskinan ini dan kita mahu pastikan bahawa golongan miskin diajar asas kemahiran digital untuk memastikan mereka boleh menjual barangan mereka secara dalam talian ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 di sini pada Ahad.

Ia dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Program berkenaan yang bermula Ahad sehingga Selasa dianjurkan oleh MYDIGITAL Corporation bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Ia turut mendapat kerjasama Telekom Malaysia Bhd (TM), kementerian dan agensi berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan penjanaan ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

Program berkenaan adalah antara usaha untuk memberi maklumat kepada PMKS mengenai segala bantuan, insentif dan penyelesaian digital yang tersedia dalam usaha membantu mendigitalkan perniagaan mereka.

Seramai enam individu telah dilantik sebagai tenaga pengajar kursus latihan dan kemahiran asas digital pada Ahad manakala lapan syarikat menerima geran berjumlah hampir RM1 juta daripada MDEC.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran mengenai program berkenaan boleh didapati di www.msme2021.com - Bernama