Pengusaha taska gesa kerajaan Selangor beri subsidi yuran

Kerajaan Selangor wajar memberikan perhatian kepada institusi taska, selain daripada tadika yang turut memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak seawal umur tiga bulan di premis tersebut.
Kerajaan Selangor wajar memberikan perhatian kepada institusi taska, selain daripada tadika yang turut memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak seawal umur tiga bulan di premis tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) di Selangor menggesa kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan pemberian subsidi yuran kepada ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke premis tersebut bagi mengurangkan beban mereka.

Tinjauan Sinar Harian di Selangor mendapati, para pengusaha taska berkata, pemberian subsidi tersebut dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November ini sekali gus membenarkan industri tersebut kembali bernafas setelah terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hasil tinjauan juga mendapati, sebelum ini mereka terpaksa mengurangkan yuran sehingga 50 peratus kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska kerana menyedari golongan tersebut turut terkesan dengan PKP seperti kehilangan pekerjaan atau potongan gaji.

Salah seorang pengusaha taska di Semenyih, Norkamila Ahmad, 38 berkata, jumlah murid di taskanya berkurang daripada sekitar 120 orang kepada 80 orang bermula Jun tahun ini kerana terdapat segelintir ibu bapa tidak mampu membayar yuran walaupun ia dikurangkan sehingga 50 peratus,

Malah menurutnya, ada antara mereka yang dikecualikan daripada pembayaran yuran tersebut.

Norkamila
Norkamila

Dia yang masih mengusahakan taska tersebut sejak tujuh tahun lalu bagaimanapun masih mengekalkan pekerja seramai 20 orang di premisnya walaupun gaji mereka terpaksa dikurangkan sebanyak 17 peratus.

"Saya berikan diskaun pembayaran yuran sehingga 50 peratus namun ada satu tahap yang mana saya benarkan ibu bapa membayar yuran mengikut kemampuan mereka atau tidak perlu membayar apa-apa kerana ada ibu bapa yang tidak mampu untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap kerajaan negeri dapat memperuntukkan geran untuk membantu pengusaha taska.

Selain itu, saya mohon kerajaan negeri memikirkan untuk beri subsidi kepada ibu bapa untuk membayar yuran penjagaan di taska bagi mengurangkan beban mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, seorang pengusaha taska di Seksyen 19, di sini, Siti Laili Suhaila Mohamed Zainal, 39 berkata, sudah tiba masanya kerajaan Selangor memandang serius bidang pendidikan awal kanak-kanak seperti mana yang dibuat di luar negara dan negara-negara maju.

Ujarnya, kerajaan Selangor disaran meningkatkan perkapita lebih tinggi daripada nilai terkini iaitu RM800 untuk sebuah keluarga bagi memudahkan ibu bapa memohon bantuan bagi perkara berkenaan.

Siti Laili Suhaila
Siti Laili Suhaila

"Di kawasan pusat bandar, kami sukar untuk mendapatkan ibu bapa yang berkapita sedemikian untuk menghantar anak-anak mereka ke taska dan membuat keputusan untuk jaga anak mereka sendiri atau menghantar kepada pengasuh tidak berdaftar.

"Kami faham kerajaan juga mementingkan kanak-kanak keperluan istimewa, tapi kanak-kanak normal juga penting kerana anak-anak yang kurang diberi ransangan perkembangan akan menghadapi pelbagai masalah bila memasuki alam persekolahan seperti masalah sosial, skil motor.

"Saya minta kerajaan negeri berikan perhatian sama rata dan tingkatkan perkapita kerana jumlah tersebut tidak logik untuk taska di kawasan bandar," katanya yang mengusahakan taskanya sejak 10 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, pengusaha taska di Petaling Jaya, Halwanie Mohamed, 37 memohon kerajaan Selangor supaya memberikan geran bagi membaik pulih taska dan bantuan khusus untuk golongan tersebut yang terjejas akibat PKP.

Dia yang mengusahakan taskanya sejak tujuh tahun lalu terpaksa menggunakan wang simpanannya untuk menampung kerugian yang dialaminya kerana terpaksa mengurangkan yuran yang perlu dibayar ibu bapa yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Halwanie
Halwanie

"Yuran yang ibu bapa hanya cukup untuk membayar kos operasi, dan sewa premis. Selebihnya seperti gaji pekerja dan lain adalah kos kami sendiri hingga ada satu masa saya terpaksa menggunakan wang simpanan.

"Saya berharap dalam belanjawan kali ini, kami mendapat bantuan khas untuk pengusaha taska.

"Kos operasi kami besar dan tidak adil untuk meletakkan beban tersebut sepenuhnya kepada ibu bapa kerana kami faham yuran untuk penjagaan kanak-kanak di taska agak mahal terutamanya jika mereka menghantar lebih dariapda seorang anak," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembentangan pada 26 November itu akan mengandungi beberapa usaha selaras dengan pembukaan semula sektor ekonomi.

end