'Kalah PRN Melaka bukan bermakna perjuangan Pas tamat'

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu bukan penamat kepada perjuangan Pas.

Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kalah dan menang sudah menjadi adat dalam setiap pertandingan apatah lagi PN sudah melakukan usaha terbaik di Melaka.

“Semoga ALLAH SWT memberkati dan memberi ganjaran pahala berpanjangan atas usaha dan komitmen diberikan. Perjalanan kita (Pas) masih jauh dan tidak terhenti setakat ini sahaja. Perjuangan masih panjang, teruskan bekerja untuk Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, pada Ahad.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengucapkan penghargaan kepada semua kepimpinan, jentera dan ahli Pas yang menyokong PN walaupun parti itu sekadar memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Buat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang diamanahkan, selamat menjalankan tugas untuk rakyat Melaka,” katanya.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas berjaya memenangi 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan di PRN Melaka.

PN melalui gabungan bersama Pas dan Gerakan pula sekadar memenangi DUN Sungai Udang dan Bemban berbanding sebelum ini kerusi Teluk Mas dan Paya Rumput.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: