337,765 OBS sudah mencarum Perkeso

Awang (kanan) menyerahkan bakul makanan MAFI Prihatin-MADA pada seorang pesawah yang terjejas banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, Pendang pada Ahad.
Awang (kanan) menyerahkan bakul makanan MAFI Prihatin-MADA pada seorang pesawah yang terjejas banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, Pendang pada Ahad.
A
A
A

PENDANG - Seramai 337,765 orang bekerja sendiri (OBS) sudah menjadi pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara aktif dengan membabitkan kutipan sebanyak RM77 juta di seluruh negara setakat Rabu lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,752 OBS sudah menerima bayaran faedah sebanyak RM5.1 juta yang terdiri daripada golongan petani, artis, penjaja, perkhidmatan, pelancongan serta lain-lain kategori.

Menurutnya, kementerian akan terus melaksanakan usaha sesi libat urus dengan pelbagai agensi untuk memperluaskan lagi capaian maklumat selain aktiviti promosi berkaitan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan sejak 1 Jun 2017.

"Saya mahu menggalakkan petani atau pesawah sertai SKSPS, ambil lah kesempatan ini, jika berlaku kemalangan ketika dalam perjalanan ke sawah atau sedang bekerja, Perkeso akan bayar faedah.

"Sekiranya ditakdirkan kita meninggal dunia, insya-ALLAH duit perlindungan pengurusan jenazah akan diberi serta-merta sebanyak RM2,000.

"Seterusnya pencen penakat juga akan diberikan kepada isteri sepanjang hayatnya serta kepada anak-anak sehingga umur 18 tahun atau tamat pengajian di universiti," katanya pada sidang akhbar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA D-III, Titi Haji Idris, dekat sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Hadir sama Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Hayati Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai dan Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Awang berkata, seramai 1,450 petani di Kedah sudah pun mencarum dengan Perkeso dan kini kempen kerjasama dengan MADA akan digiatkan untuk memberi kesedaran kepada lebih 50,000 lagi pesawah di Kawasan Muda untuk mencarum menerusi SKSPS.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso juga turut melaksanakan program Geran Penuh atau Padanan caruman SKSPS pada tahun lalu bagi meluaskan liputan perlindungan sosial yang akan memberi manfaat kepada lebih 810,000 pekerja yang bekerja sendiri.

"Menerusi program geran padanan SKSPS, pencarum hanya perlu membayar sebanyak 30 peratus daripada RM232.80 bayaran setahun bagi skim caruman dua manakala baki 70 peratus akan dibiayai kerajaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi meneruskan perlindungan terhadap golongan ini yang akan tamat pada 31 Disember depan, kerajaan bercadang untuk meningkat geran padanan kepada 80 peratus pada tahun depan berbanding 70 peratus pada tahun 2021 di mana pencarum di bawah skim dua hanya perlu mencarum sebanyak 20 peratus sahaja.