Perilaku remaja jejas kesihatan fizikal

Waktu lapang telah digantikan dengan penggunaan gajet secara berlebihan yang meningkatkan tingkah laku sedentari.
Waktu lapang telah digantikan dengan penggunaan gajet secara berlebihan yang meningkatkan tingkah laku sedentari.
A
A
A

PADA tahun 2018, terdapat lebih kurang 5.5 juta remaja di Malaysia dan sebahagian daripada mereka masih belajar di sekolah. Remaja merupakan aset penting untuk meneruskan agenda pembangunan negara. Justeru, perhatian awal terhadap pertumbuhan, kematangan dan perkembangan remaja wajar dititik berat semua pihak.

Namun begitu, Tinjauan Kesihatan Remaja 2017 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa kadar obesiti akan menurun. Hasil tinjauan tersebut mendapati kadar obesiti semakin meningkat berbanding dengan data yang diperoleh pada tahun 2012 melalui Global School-Based Student Health Survey.

Data pada tahun 2012 dan 2017 menunjukkan peningkatan tingkah laku sedentari, tingkah laku pemakanan dengan mengambil minuman berkabonat, makanan segera, dan penurunan aktiviti fizikal. Ini akan mengakibatkan kecenderungan berlakunya ketidakseimbangan tenaga di mana pengambilan kalori yang berlebihan berbanding pembakaran kalori.

Tinjauan Kesihatan Remaja 2017 juga mendapati 29% remaja di Malaysia dalam kategori ketagih menggunakan internet. Telefon pintar, komputer, komputer riba, ipad, papan elektronik mudah alih antara gajet yang sering menjadi pilihan remaja.

Perkembangan dunia telekomunikasi menggalakkan penciptaan aplikasi permainan atas talian dan penggunaan media sosial menjadi popular dalam kalangan remaja. Waktu lapang yang wajar dipenuhi dengan aktiviti riadah telah digantikan dengan penggunaan gajet secara berlebihan yang akan meningkatkan tingkah laku sedentari.

Tingkah laku pemakanan, aktiviti fizikal, dan gaya hidup sedentari merupakan antara tingkah laku yang berisiko tinggi menyumbang kepada lebihan lemak tubuh. Amat membimbangkan fenomena ini berterusan kerana kanak-kanak dan remaja yang obes adalah berisiko untuk kekal obes apabila mereka meningkat dewasa.

Situasi sedemikian bakal meningkatkan kadar penyakit-penyakit kronik yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah turut meningkatkan beban ekonomi negara, khasnya dalam aspek perubatan.

Justeru, agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pihak media, komuniti setempat, sektor korporat, badan bukan kerajaan, dan pengusaha-pengusaha pusat kecergasan perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu ini.

Artikel Berkaitan:

Promosi kesihatan untuk menggalakkan remaja aktif dan pemakanan sihat perlu dijalankan secara kolaboratif dan tersusun dengan semua pihak. Institusi pendidikan tempat paling baik untuk membentuk tingkah laku kesihatan yang positif kerana sebahagian besar masa remaja dihabiskan di sekolah.

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan merupakan subjek penting untuk meningkatkan literasi kesihatan kepada remaja. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu diberi tumpuan khas dan diperkasakan agar pelajar dapat memahami dan mengamalkan kemahiran gaya hidup sihat.

Melalui subjek tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan gaya hidup sihat, komponen kecergasan menyeluruh, pemakanan sihat dan kaedah senaman yang akan menggalakkan tingkah laku kesihatan yag positif. Selain itu, sekolah perlu menyediakan peluang yang maksimum untuk mereka bergerak dengan aktif dengan menekankan aktiviti fizikal dan permainan yang tidak berkonsepkan pertandingan bagi menggalakkan penyertaan pelajar.

Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku kesihatan yang positif. Remaja dan kanak-kanak yang membesar dalam suasana keluarga yang mementingkan budaya hidup aktif lebih cenderung mengamalkan budaya tersebut. Pengaruh langsung yang dapat dilihat ialah aspek pemakanan, terutama dari segi penyediaan makanan sihat dan peranan ibu bapa sebagai model untuk mempengaruhi tingkah laku pemakanan remaja di rumah.

Agensi-agensi lain perlu bergerak seiring untuk melahirkan masyarakat aktif. Oleh yang demikian, persekitaran yang menggalakkan ke arah gaya hidup sihat hendaklah diwujudkan.

Taman-taman rekreasi, laluan pejalan kaki dan berbasikal perlu dibina dengan lebih banyak.

Remaja sedang menjalani fasa perkembangan dan kematangan yang aktif. Oleh itu, tingkah laku kesihatan yang positif perlu diterap dalam kehidupan mereka agar membesar sebagai individu yang mempunyai kesejahteraan menyeluruh, seterusnya mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada masayarat dan negara.

* Penulis dari Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara