TFC mahu ulangi kejayaan mara ke peringkat akhir Piala Malaysia

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain bertekad mahu mengulangi kejayaan edisi 2018, apabila skuad Penyu mara ke peringkat akhir saingan Piala Malaysia.

Beliau berkata, walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) diakui sebagai pasukan paling dihormati dan terkuat di Liga Malaysia, ia tidak bermakna Terengganu tidak mempunyai peluang untuk menang pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Isnin.

"Pada 2018 kita telah pun menewaskan JDT dengan agregat 3-1 untuk mara ke final pada 2018 bertemu Perak.

"Untuk liga musim ini pun kita dah biasa bertemu dan saya rasa ia akan beri sedikit keyakinan kepada pemain supaya tidak gugup dan bermain dengan cemerlang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambah Nafuzi lagi, beliau amat berharap dapat mara ke peringkat akhir sebagai hadiah kepada penyokong yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali perlawanan.

Dalam pada itu, Nafuzi turut mengingatkan anak buahnya supaya memperkuatkan jentera untuk merobek kubu pertahanan JDT yang sukar dibolosi.

Katanya, JDT yang berstatus pasukan gergasi diakui memiliki barisan pertahanan yang paling mantap dengan hanya bolos satu gol sepanjang lapan aksi Piala Malaysia setakat ini.

"Jadi, kita perlu rancang dengan teliti untuk hadapi pertahanan JDT dan jaringkan gol.

Artikel Berkaitan:

"Saya belum tentukan kesebelasan utama malam esok, tetapi Carli De Murga sudah menjalani latihan bersama pasukan dan kita tengok esok macam mana (sama ada boleh bermain atau tidak)," katanya yang tidak menganggap aksi di depan penonton sendiri boleh menjamin kemenangan. - Bernama