Kalah teruk di PRN Melaka kifarah atas kesombongan Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu seumpama kifarah di atas tindakan sombong Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering mengugut untuk menarik sokongan ke atas kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, diminta muhasabah diri dengan menghentikan budaya politik mengugut untuk menarik sokongan ke atas kerajaan diterajui BN kerana keputusan PRN Melaka jelas menunjukkan sikap beliau mengugut selama ini memakan dirinya sendiri.

"Muhyiddin kena cepat insaf. Kekalahan teruk PN dan Bersatu di Melaka seumpama kifarah di atas tindakan sombong beliau yang mengamalkan budaya politik ugutan selama ini.

"Beliau tidak seharusnya memberi tekanan politik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepentingan politik sendiri. Beliau selalu memberi tekanan dan cuba mengawal kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan membuat ugutan untuk menarik balik sokongan. Bukan di peringkat pusat sahaja, malah di Johor sebelum ini Muhyiddin ugut mahu tarik sokongan. Jadi, nasihat saya hentikan budaya tak elok ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Nur Jazlan,sekiranya Muhyiddin enggan menghentikan sikap negatif itu, beliau mencadangkan Ahli Parlimen Pagoh tersebut menarik terus sokongan kepada kerajaan supaya Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

"Kalau Muhyiddin masih nak main' ugut-ugut', lebih baik beliau tarik terus sokongan kepada kerajaan.

"Jika takut nak tarik sokongan di peringkat Pusat, buat sahaja di peringkat negeri seperti di Johor. Kami sedia menyambut Muhyiddin dari tol Pagoh. Biar rakyat kembali mengundi dan pilih sebuah kerajaan baharu yang kukuh untuk masa depan," katanya.

Tambah Nur Jazlan, BN sedia untuk berdepan PN sekali lagi dalam medan pertandingan lebih besar iaitu PRU15 dan membuktikan sejauh mana PN atau Bersatu relevan dalam landskap politik negara.

Artikel Berkaitan:

"UMNO dan BN sudah mengatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan PN pada PRU15. Jadi, medan terbuka ini boleh dijadikan kayu pengukur kemampuan masing-masing.

"Walaupun kalah teruk di Melaka, Muhyiddin masih mendabik dada kononnya PN bakal menjadi pencabar terkuat kepada BN. Jangan cakap saja, kalau berani buktikan," kata Nur Jazlan.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my