Rekod cemerlang tunai janji manifesto faktor BN menang besar

 Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan
A
A
A

KOTA BHARU - Rekod cemerlang Barisan Nasional (BN) yang mengotakan janji dalam manifesto sebelum ini menjadi penyumbang kepada kemenangan besar di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, kemenangan itu memberi isyarat yang jelas bahawa rakyat Melaka sudah kembali yakin kepada BN setelah melihat beberapa kali kerajaan berubah selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"BN adalah sebuah parti yang sentiasa membawa suara rakyat dan menunjukkan prestasi urus tadbir yang baik selain berjaya memakmurkan Melaka berdekad lamanya," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Menurutnya, rakyat Melaka dilihat bijak apabila tidak lagi termakan 'umpan' manifesto yang digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRN berkenaan.

Beliau berharap momentum kepercayaan rakyat kepada BN akan berterusan sehingga ke peringkat nasional bagi menghadapi PRU-15 tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Machang itu merakamkan ucapan terima dan tahniah kepada seluruh rakyat Melaka yang membuat pilihan tepat dengan memberi kepercayaan kepada BN.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO Kelantan yang telah bertungkus lumus berminggu-minggu membantu jentera tempatan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia dan Machap Jaya sekali gus memberi kemenangan kepada BN," katanya.

Pada Sabtu, menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka dan kemenangan selesa itu membolehkan parti tersebut membentuk kerajaan Melaka yang baharu dengan majoriti dua pertiga.

Artikel Berkaitan:

Sementara PH pula menang di Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN hanya menang di Sungai Udang dan Bemban.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my