‘Islamic First’ dasar pelaburan PNB

Dr Ahmad Basri Ibrahim
Dr Ahmad Basri Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institusi pelaburan utama di Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan terus memainkan peranan secara proaktif dalam mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pelaburan patuh syariahnya.

Ketua Jabatan Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata, selain merintis penciptaan syarikat patuh syariah di Bursa Malaysia, PNB turut mengamalkan dasar 'Islamic First' dalam pembiayaan dan pemasaran dana unit amanah ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad).

Menurutnya, pelaburan patuh syariah adalah menjadi keutamaan PNB dan akan memastikan semua dana unit amanah yang diuruskan, termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) tidak melabur dalam perjudian, arak dan tembakau.

“Antara inisiatif lain yang dilaksanakan ialah menggunakan ‘akad’ yang jelas dalam pelaburan 16 dana unit amanah di bawah ASNB dan memantau perkembangan 16 dana ASNB dari segi pematuhan syariah dari masa ke masa.

“Kita juga menasihati pelabur Islam supaya membayar zakat sekiranya nisab dan haul dipenuhi. Semua produk PNB juga telah mendapat Fatwa Harus daripada Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan pada tahun 2017, semua unit amanah ASNB diklasifikasikan sebagai dibenarkan atau 'Harus' oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua Majlis Fatwa Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi taklimat Perjalanan Syariah dan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah PNB yang diadakan di Perdana Kuala Lumpur City Centre baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PNB mengamalkan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah yang dinamakan PNB SGF untuk menetapkan pengaturan tadbir urus syariah yang menggariskan proses membuat keputusan, akauntabiliti dan kebebasan tadbir urus syariah Kumpulan PNB.

Selain itu, PNB mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi memantau dan memastikan urusan perniagaan dan aktiviti Kumpulan PNB mematuhi keperluan patuh syariah.

Artikel Berkaitan:

Dr Ahmad Basri Ibrahim
Dr Ahmad Basri Ibrahim

Ia dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar Pengerusi dan turut dianggotai Datuk As Sheikh Nooh Gadot, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Dr Aida Othman dan Wan Abdul Rahim Kamil Wan Mohamed Ali.

“Sehingga 31 Disember 2020, pengurusan aset di bawah PNB bernilai RM324 bilion. Daripada jumlah itu, 75 peratus kita laburkan dalam instrumen-instrumen yang patuh syariah dan berdasarkan parameter Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang mana kita laburkan di syarikat-syarikat atau ‘aset trust’ yang patuh syariah mengikut SC.

“Baki 25 peratus lagi bukannya tidak patuh syariah, tetapi kita laburkan dalam syarikat-syarikat yang patuh syariah tetapi berdasarkan PNB Maqasid Screening Process, iaitu melibatkan kira-kira 20 ke 30 syarikat.

“Kita masih belum selesa dengan paras sekarang, sebab itu walaupun tidak diminta oleh mana-mana pengawal selia, kita memperkenalkan panduan Manual Syariah pada tahun 2018 kepada semua jabatan kita. Sebelum kita melabur, mereka akan rujuk kepada Manual Syariah PNB yang telah diluluskan Jawatankuasa Penasihat Syariah PNB,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pelaburan, beliau menjelaskan, selain di Bursa Malaysia, PNB turut mengambil langkah proaktif dengan melabur dalam 200 syarikat di 24 negara.

Kesemua syarikat berkenaan katanya, adalah patuh syariah dan PNB menggunakan empat Penyedia Indeks Global iaitu MSCI Inc (MSCI All Countries World Islamic Index), S&P Dow Jones (Dow Jones Islamic Markets World), FTSE Russell (FTSE Shariah Global Equity Indeks) dan S&P Shariah Indeks (S&P Global 1200 Shariah).

“Antara pencapaian besar kita pada tahun ini ialah berjaya melepasi sasaran pematuhan syariah yang ditetapkan iaitu 75.5 peratus kepada 76.6 peratus yang mana menunjukkan komitmen kami terhadap pelaburan patuh syariah.

“PNB akan terus komited untuk menjadi sebuah institusi pelaburan bertaraf dunia, dengan menetapkan fokus yang jelas kepada mandat yang diberikan oleh pelabur,” katanya.