X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kes siakap kayangan dirujuk kepada TPR

Rosol (kanan) menunjukkan buah Melon Manis Terengganu yang ditanam di Kampung Peradong, Manir.
A
A

KUALA TERENGGANU – Kes sebuah restoran terapung di Pulau Langkawi yang tular kerana didakwa menjual hidangan seekor siakap berharga RM1,196 akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kertas siasatan telah dibuka terhadap peniaga berkenaan selepas gagal menyerahkan dokumen lengkap yang perlu diperincikan kepada KPDNHEP.

“Sebelum ini, pemilik restoran perlu menjawab notis KPDNHEP mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 namun sehingga 17 November, peniaga ini gagal menyerahkan dokumen lengkap yang perlu diperincikan kepada KPDNHEP.

“Oleh itu satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 53(A) AKHAP 2011 kerana gagal menyelenggara dan menyimpan rekod yang wajar berhubung kendalian perniagaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Pusat Pengumpulan Hasil Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Kampung Peradong, Manir, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar sebanyak RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat 7.48 kilogram.

Menurut Rosol, kegagalan pemilik premis mengemukakan dokumen yang dikehendaki menyebabkan siasatan lanjut mengenai kemungkinan wujud unsur pencatutan tidak dapat dijalankan berikutan dokumen lengkap seperti kos operasi dan kos-kos lain tidak diperolehi.

Sehubungan itu beliau meminta peniaga melakukan penyimpanan rekod pembelian stok, barangan, pemprosesan dan jual beli dengan baik bagi memudahkan siasatan dibuat oleh pihak berkuasa sekiranya timbul sebarang isu.

“Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 53(A) AKHAP boleh didenda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan dendanya meningkat sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun bagi kesalahan berulang,”katanya.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati harga jualan RM16 bagi 100 gram ikan siakap dikenakan peniaga berkenaan tidak berubah sejak tiga tahun lalu.

Mengulas mengenai Ops Menu yang dilancarkan pada 6 November lalu susulan isu harga siakap melampau itu, Rosol memaklumkan setakat ini KPDNHEP telah melakukan 2,814 pemeriksaan di restoran dan kedai makan seluruh negara.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 21 kes direkodkan iaitu 10 kes di bawah AKHAP 2011 dan 11 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan Sabah merekodkan kes paling tinggi iaitu sembilan kes.

“Sebanyak RM6,400 kompuan turut dikeluarkan kepada peniaga dan operasi ini akan diteruskan sehingga 31 Disember ini,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!